Skip to main content

Hiburan

Liza Hanim Tergamam Baca Komen Netizen Suruh ‘Give Up’ Menyanyi - “Ia Buat Saya Rasa Tiada Nilai…”

Liza Hanim

Sekilas

  • Liza Hanim terkilan dengan komen negatif yang menyuruhnya berhenti menyanyi walaupun sudah hampir 30 tahun dalam industri muzik.
  • Komen tersebut membuatkan Liza berasa terkesan dan emosional, namun dia kembali positif selepas sokongan rakan-rakan artis seperti Misha Omar.
  • Liza menegaskan dia akan terus fokus pada peminat yang menyokongnya dan tidak akan layan komen negatif yang dianggap toksik.

Tak pernah ambil kisah komen netizen sepanjang dalam industri, bagaimanapun penyanyi Liza Hanim terkilan apabila ada individu memintanya untuk berhenti menyanyi. 

 

Liza berkata, walaupun dia sudah lali dengan kritikan sepanjang hampir tiga dekad berada dalam industri muzik, namun terdapat satu komen yang meninggalkan kesan terhadap emosinya.

 

“Sebenarnya, perkara seperti ini saya tak perlu layan sebab sebelum ini banyak komen dan kecaman yang saya terima. Entah kenapa, ada satu komen di YouTube membuatkan emosi saya terjentik. 

 

“Kebetulan lagu baru saya keluar dan ia adalah projek penutup saya untuk 2025, kemudiannya 19 November saya menginjak 46 tahun. Jadi bila baca komen yang mengatakan masa saya sudah habis, saya patut ‘give up’ dan ‘move on’, saya tergamam. 

 

“Kerana komen itu membuatkan saya rasa tiada nilai langsungkah saya? Sebab kalau ikutkan saya punya ‘discography’, besar. Jadi saya sikit beremosi pada waktu membaca komen itu,” katanya kepada Gempak. 

 

Baru-baru ini, Liza meluahkan perasaan di Instagram miliknya berkenaan seorang individu memberikan komen yang menyinggung perasaannya.

 

“Sudahlah, zaman awak sudah berlalu. Mengalah sajalah. Ia tidak akan berlaku lagi. Teruskan hidup, Liza,” tulis individu berkenaan.

 

Komen itu dikatakan membuatkan Liza menitiskan air mata.

 

Bagaimanapun, Liza berkata dia kembali positif selepas menerima kata-kata semangat dari rakan-rakan industri seperti Misha Omar. 

 

“Apa saja yang kita buat, bukan semua orang suka. Jadi saya perlu fokus pada siapa yang suka sajalah. Misha pun ada hantar Direct Message (DM) bila saya muat naik hantaran itu. Sama seperti Ieda Moin dan ramai jugalah.  

 

“Ramai rakan-rakan artis yang dah lalui benda-benda yang sama. Jadi saya sangat hargai sokongan mereka. Mungkin sebenarnya saya tak patut layan benda itu.

 

“Tapi saya rasa komen dan individu seperti itu sangat negatif dalam industri kita. Ia adalah toksik, jika kita tiada benda baik nak cakap, jangan cakap apa-apa pun. Kalau saya bukan penyanyi yang anda dengar, tak payahlah dengar lagu saya.

 

“Setiap kali saya keluar lagu baru, memang akan ada golongan macam ini. Tak mengapalah yang penting saya masih di sini dan peminat saya masih mahu mendengar saya menyanyi,” katanya.

Must-Watch Video

Advertisement