Skip to main content

Selebriti

Liza Hanim Terkilan Kerjaya Dipandang Remeh - “Ini Sumber Rezeki Saya, Siapa Anda Untuk Menghina?”

Liza Hanim Terkilan Kerjaya Dipandang Remeh

Sekilas

  • Liza Hanim meluahkan rasa terkilan selepas menerima komen negatif yang menghina kerjaya seninya di Instagram.
  • Dia menegaskan usaha dan rezekinya sebagai penyanyi adalah sumber pendapatan yang perlu dihormati, walaupun tidak semua orang menyukai hasil kerjanya.
  • Liza percaya rezekinya sudah ditentukan oleh Allah dan akan terus menyanyi selagi mendapat restu dan izin-Nya.

Penyanyi, Liza Hanim, meluahkan rasa terkilan selepas menerima komen negatif yang disifatkan sebagai hinaan terhadap kerjaya seninya.

Menerusi satu perkongsian di akaun Instagram miliknya, Liza mengakui komen tersebut cukup mengguris hati walaupun dirinya sudah lama berada dalam industri hiburan.

“Sudah lah. Your time is over. Give up. It's not gonna happen again. Move on dah Liza,” tulis individu tersebut.

Menurut Liza, walaupun dia memahami bahawa tidak semua orang akan menyukai hasil kerjanya, namun komen tersebut jelas bertujuan merendahkan usahanya sebagai penyanyi.

“Apa perasaan bila komen sebegini dilemparkan. Saya tak perlu melayan namun... sekadar bersuara. Benar, bukan semua akan suka dengan apa yang kita lakukan, tetapi ramai juga yang suka dan percaya. 

“Mengapa perlu berkata sedemikian kalau memang saya bukan pilihan, sekadar nak mengguris bukan. Tak perlu berikan perhatian pada apa yang saya hidangkan jika tidak menggemari, mudahkan?

“Sebagai penyanyi, penyampai, saya melaksanakan tugas untuk menyanyikan sebuah lagu yang merupakan OST buat sebuah drama iaitu Sumpah Ibuku.

“Mereka adalah client saya dan saya mencari rezeki. Ini adalah sumber rezeki saya, dan usaha saya, siapa anda untuk menghina sedemikian rupa.

“Andainya Ku Bersuara pasti akan terkejut industri dengan kisah saya yang sehingga kini diselimuti agar tidak kelihatan,” luahnya.

Bagaimanapun kata Liza, dia percaya bahawa setiap rezekinya telah ditentukan oleh Allah.

“Namun saya percaya dengan rezeki dan sesungguhnya Allah telah melimpahkan rezeki yang pelbagai dan siapa lah saya untuk tidak mensyukurinya.

“Saya berehat sebelum ini kerana saya yang inginkannya, dan saya kembali menyanyi juga kerana saya yang mahu! Bukan kerana orang seperti anda!”

“Selagi masih bersuara, selagi Allah izinkan dan masih mendapat restu suami serta dipercayai, akan ku teruskan jua.

“Jeda Derita adalah ciptaan adik saya @tomokofficial dan lirik oleh sahabat saya @fedtriyahya, yang tahu perjalanan seorang Liza Hanim.

“Tahniah yang memberi komen itu, anda berjaya menitiskan air mata saya,” kongsinya.

Berikut merupakan perkongsian penuh Liza:

Must-Watch Video

Advertisement