Pelakon, Evertts Gomes meluahkan rasa syukur selepas namanya tersenarai sebagai calon dalam kategori Your Favourite Actors From Malaysia menerusi Contentasia Awards 2025.
Menurut Evertts, pencalonan itu benar-benar di luar jangkaannya memandangkan dirinya masih baharu dalam industri seni.
“Seriously never expected pun untuk nama tercalon dekat mana-mana platform anugerah sebab saya rasa saya masih baru dan banyak lagi perlu belajar.
“Evertts yakin jauh lagi ramai yang lebih lama dan berbakat yang layak. Tapi saya bersyukur bakat saya sudah mula dikenali,” katanya ketika dihubungi Gempak.
Pelakon yang mula dikenali menerusi drama Curang Tanpa Niat itu turut menegaskan bahawa tujuan utamanya dalam dunia lakonan bukanlah untuk mengejar anugerah.
Sebaliknya kemunculannya dalam industri seni adalah untuk memberi inspirasi dan membantu keluarganya.
“Saya tak pernah terfikir pun untuk kejar anugerah. Saya berlakon kerana minat, kerana keindahan seni lakonan dan kerana cinta saya terhadap bidang ini. Saya bekerja keras untuk menyara keluarga saya yang sedang bergelut.
“Mengejar anugerah bukanlah matlamat utama saya, kerana matlamat sebenar saya adalah untuk melihat ibu saya menikmati kehidupan yang selama ini dia impikan. Anugerah akan datang pada masanya yang tepat.
“Saya berlakon dengan tujuan untuk memberi inspirasi kepada generasi akan datang supaya mereka tidak menyembunyikan bakat, sebaliknya berani tampil menghadapi dunia walaupun berdepan cabaran harian.
Advertisement
“Saya sangat bersyukur dengan peluang ini untuk dicalonkan, dan saya mendoakan yang terbaik buat semua calon lain,” tambahnya.
Selain Evertts turut tercalon dalam kategori sama adalah Mierul Aiman manakala Arabella Ellen pula tercalon dalam kategori Your Favourite Actress From Malaysia.
Sementara itu, drama bersiri Khunsa yang menampilkan pelakon Sherry Alhadad turut tercalon dalam kategori siri pilihan.