Skip to main content

Filem

Lyora Filem Tentang Wanita Berjuang Untuk Zuriat! - "Ia Seperti Surat Cinta & Pembakar ..."

lyora

Paragon Pictures membawakan sebuah karya menyentuh hati berjudul Lyora: Penantian Buah Hati yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 18 September ini.

Filem ini diadaptasi daripada novel Lyora: Keajaiban Yang Dinanti tulisan Fenty Effendy, diinspirasikan daripada kisah benar pasangan suami isteri, Meutya (lakonan Marsha Timothy) dan Fajri (Darius Sinathrya) yang berdepan pelbagai cabaran dalam usaha mendapatkan zuriat.

Advertisement

Meutya, seorang wanita bekerjaya yang meniti usia matang, bersama suaminya menjalani pelbagai rawatan kesuburan termasuk program bayi tabung uji (IVF). Namun, di sebalik usaha gigih itu, mereka terpaksa mengharungi kegagalan, kesedihan dan kehilangan berulang kali.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 1 daripada 6 pasangan di seluruh dunia berdepan masalah kesuburan. Lyora menjadi filem keluarga pertama di Indonesia yang mengangkat perspektif wanita serta pasangan dalam perjuangan menanti hadirnya cahaya mata.

Sutradara Pritagita Arianegara menegaskan, karya ini cukup peribadi buat dirinya.

“Karya ini sangat personal buat saya. Saya tahu rasanya menunggu, mencuba dan gagal. Menerusi Lyora, saya ingin memeluk mereka yang masih berjuang dan mengingatkan bahawa ini bukan perjuangan satu orang saja.

"Bagi ramai wanita, anak bukan sahaja untuk penyambung keturunan, tetapi refleksi kepada harapan, keberanian, perjuangan dan kadang-kala kehilangan. Filem ini tentang seorang bakal ibu yang tidak berputus asa dan bagaimana orang sekeliling menjadi pembakar semangat untuk terus berjuang,” katanya.

Bagi Marsha Timothy, membawa watak Meutya adalah pengalaman yang mendalam.

“Melakonkan watak Meutya dalam filem ini bagi saya seperti mewakili semangat juang para isteri yang sedang menanti buah hati. Karya ini seperti surat cinta dan pembakar semangat untuk mereka dan diharap boleh memberi motivasi tanpa harus menghakimi.

"Meutya adalah wakil suara daripada wanita-wanita yang menjadi pejuang garis dua yang sungguh jarang dibicarakan. Menerusi watak ini ditunjukkan, sehebat mana wanita itu mereka juga manusia biasa yang adakalanya berasa lelah dan memerlukan sokongan,” ujar Marsha.

Sementara itu, Darius Sinathrya menekankan bahawa perjuangan memiliki anak adalah tanggungjawab bersama.

“Perjuangan menantikan buah hati bukan beban satu orang. Filem ini membuka ruang diskusi tentang pentingnya peran suami dalam perjuangan memiliki anak, bukan hanya tanggungjawab isteri,” jelasnya.

Selain dibintangi oleh Marsha dan Darius, filem ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Widyawati, Aimee Saras, Olga Lydia, Hannah Al Rashid, Ariyo Wahab dan Ivanka Suwandi.

Lyora: Penantian Buah Hati yang diedarkan oleh Horizon Film Entertainment Sdn Bhd akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 18 September 2025.

 

 

Must-Watch Video

Advertisement