Sekilas
- Aliff Aziz akan memegang watak Sultan Mansur Shah dalam Teater Muzikal Mansur & Liu yang dipentaskan di Istana Budaya dari 10 hingga 20 September.
- Teater ini mengisahkan hubungan antara Kesultanan Melaka dan Dinasti Ming serta menampilkan muzik asli arahan Datuk M. Nasir yang menggabungkan elemen tradisional dan orkestra kontemporari.
- Pementasan ini bertujuan memperkenalkan sejarah dan seni Melayu kepada penonton tempatan dan antarabangsa, selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.
Penyanyi dan pelakon Aliff Aziz bakal menggalas watak Sultan Mansur Shah menerusi Teater Muzikal Mansur & Liu yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 10 hingga 20 September depan.
Melinda Dadew pula dipilih membawakan watak Puteri Liu dalam pementasan berskala besar yang diinspirasikan daripada kisah tercatat dalam Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu itu.
Mansur & Liu mengangkat kisah pertemuan Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu dari Dinasti Ming, selain mengetengahkan hubungan diplomatik antara Kesultanan Melaka dengan China.
Pementasan tersebut turut menjadi karya teater muzikal pertama yang diarahkan maestro seni tanah air, Datuk M. Nasir.
Selain bertindak sebagai pengarah, M. Nasir turut bertanggungjawab menghasilkan lebih 30 buah lagu dan skor muzik asli yang menjadi tunjang penceritaan.
Kesemua karya muzik berkenaan bakal menggabungkan elemen muzik tradisional Melayu dengan susunan orkestra kontemporari.
Menurut wakil Icon Entertainment, Iman Tang, Mansur & Liu bukan sekadar mengetengahkan kisah percintaan, sebaliknya membawa mesej lebih besar mengenai sejarah dan jati diri bangsa.
“Mansur & Liu bukan cinta semata-mata yang menjadi paksi cerita.
“Di sebalik pertemuan Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu, tersirat hikmah tentang maruah sebuah bangsa, kebesaran sebuah kerajaan, kesetiaan kepada tanah air, kebijaksanaan dalam berunding serta indahnya persahabatan antara dua tamadun besar yang saling menghormati,” katanya.
Selain Aliff dan Melinda, pementasan tersebut turut menghimpunkan barisan pelakon terkenal termasuk Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot dan Anas Ridzuan.
Turut terlibat Arena Wan, Ruzana Ibrahim, Fiza Thomas, Taufiq Izmir, Marzuki Noh dan Shahrul Mizad.
Dalam masa sama, produksi tersebut bakal menggunakan gabungan cahaya, bunyi, tarian, busana, rekaan pentas serta teknologi moden bagi menghidupkan suasana dan kemegahan era Kesultanan Melaka.
Tambah Iman, pementasan berkenaan turut membawa aspirasi untuk memperkenalkan sejarah dan kesenian Melayu kepada khalayak lebih luas termasuk penonton antarabangsa.
“Seiring aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026, Mansur & Liu diharap menjadi lambang kekuatan seni persembahan negara.
“Pada masa sama, kami mahu memperkenalkan keagungan warisan Melayu kepada khalayak tempatan dan antarabangsa melalui bahasa teater yang indah, agung dan merentasi zaman,” ujarnya.
Mansur & Liu diterbitkan M. Nasir dan Datin Marlia Musa menerusi Roman Abadi dengan kerjasama Icon Entertainment.
Pementasan tersebut berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya selama 11 hari bermula 10 hingga 20 September depan.
Tiket ditawarkan pada harga antara RM88 hingga RM408 mengikut kategori tempat duduk dan mula dijual pada 10 Ogos, pukul 3 petang.