Skip to main content

Hiburan

“Macam Didakwa Pembunuh” - Radhi OAG Anggap Kes Melibatkan Bekas Isteri Sebagai Ujian, Ambil Langkah ‘Forgive & Forget’

Radhi OAG

Sekilas

  • Radhi OAG bersyukur selepas dibebaskan daripada dakwaan memukul bekas isteri selepas tiga tahun berdepan kes mahkamah.
  • Radhi menganggap ujian ini sebagai peringatan dari Allah dan memilih untuk tidak mengambil tindakan lanjut demi menjaga hubungan baik demi anak-anak mereka.
  • Radhi dan bekas isteri, Nur Shahira Ayu, berkahwin pada 2014, bercerai pada 2019, dan dikurniakan dua anak.

Menzahirkan rasa syukur kemenangan berpihak kepada dirinya, penyanyi Radhi OAG bagaimanapun berasa seperti dirinya didakwa sebagai pembunuh ketika berdepan dakwaan memukul bekas isteri. 

 

Tiga tahun berjuang naik turun mahkamah, Radhi bagaimaapun menganggap ia satu ujian daripada Allah untuk memberi peringatan kepada dirinya. 

 

“Macam didakwa pembunuh. Tapi bagi saya relax saja la, sebab saya tak bersalah. Tiga tahun turun naik mahkamah, boleh gila. Tapi fikir-fikir balik, ini ujian. 

 

“Ini cara Allah untuk ingatkan kita ada la tu buat salah. Tapi kalau kita tak bersalah dalam hal itu, buat-buat tenang saja la. Jadi, Alhamdulillah saya menang dan bersyukur. 

 

“Ikutkan peguam nak minta dia buat permohanan maaf secara terbuka atau ambil tindakan saman fitnah atas keterangan palsu. Bila fikir balik, bila nak habis. Nak naik mahkamah lagi,” katanya kepada Gempak. 

 

Radhi berkongsi perkara itu ketika ditemui media pada majlis sidang media Metalverse yang akan berlangsung di Megastar Star Arena, di sini, pada 30 April dan 1 Mei depan anjuran Vox Nation Live.

 

Dalam pada itu, Radhi berkata dia tidak mahu mengambil tindakan terhadap bekas isterinya iaitu Nur Shahira Ayu demi anak-anak mereka. 

 

“Walaupun sampai ‘brutal’ macam itu dia buat saya, bagi saya mungkin ketika itu keadaan emosi dia tak tentu. Saya tak nak la ambil apa-apa tindakan dah sebab dia pun bekas isteri saya. 

 

“Dia yang menjaga anak-anak saya. Lepas kes itu pun, hubungan kami baik. Mungkin sebab saya pun tak ada ambil tindakan balas, dia rasa macam ‘chill’ la. 

 

“Ikutkan boleh saja ambil tindakan, sebab saya sampai masuk lokap. Tapi nasib baik bukan penjara. Saya ambil langkah ‘forgive and forget’ demi anak-anak,” ujarnya. 

 

Sebelum ini, Radhi didakwa dengan sengaja mencederakan Nur Shahira Ayu di Kota Damansara, Selangor pada 19 April 2022. 

 

Pada Ogos tahun lalu, Radhi berasa lega apabila mahkamah membebaskannya selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap dirinya. 

 

Radhi dan Nur Shahira Ayu bernikah pada 14 April 2014, namun bercerai pada Julai 2019 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Must-Watch Video

Advertisement