Sekilas
- Fasha Sanda beri kata semangat kepada adiknya, Elisya Sandha, supaya tidak terlalu ambil peduli komen negatif terhadap drama Madu Atau Racun.
- Drama Madu Atau Racun dikritik kerana didakwa tidak sesuai dengan budaya dan agama, menyebabkan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak bersetuju dengan penayangannya.
- FINAS arahkan semua episod drama tersebut disunting semula dan episod yang sudah disiarkan di iQIYI diturunkan sementara menunggu keputusan rasmi.
Pelakon, Fasha Sanda menitipkan kata-kata semangat buat adiknya, Elisya Sandha selepas drama lakonannya, Madu Atau Racun menerima kecaman daripada netizen.
Menerusi hantaran di Threads, Fasha menasihatkan Elisha agar tidak terlalu memikirkan komen-komen yang hanya membawa pengaruh negatif.
“Setiap orang mempunyai pendapat yang berbeza. Ambil apa yang boleh dipelajari, abaikan perkara negatif dan teruskan melangkah, Elisya.
“Jangan biarkan komen-komen negatif membebankan hati adik Angah. Berlembutlah dengan diri sendiri, biarkan segala bunyi bising itu berlalu dan ingatlah bahawa saat ini juga akan berlalu.
“Akak sentiasa ada untuk adik. Sayang adik sangat-sangat,” katanya.
Terdahulu, drama Madu Atau Racun lakonan Uqasha Senrose, Aliff Aziz dan Elisya Sandha mencetuskan kontroversi susulan beberapa adegan yang didakwa tidak sesuai dengan budaya dan pegangan agama masyarakat sehingga ada yang meminta ia ditarik balik.
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dilapor tidak bersetuju dengan penayangan drama berkenaan yang didakwa menimbulkan keresahan serta kontroversi dalam kalangan masyarakat.
MIG tampil memohon maaf kepada orang ramai susulan kontroversi drama Madu atau Racun yang didakwa menyentuh sensitiviti agama dan isu LGBTQ menerusi hantaran di IG.
Susulan itu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengarahkan semua 12 episod drama Madu Atau Racun disunting semula dan dikemukakan kepada panel penilai untuk penilaian lanjut sebelum boleh disiarkan semula.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dilapor berkata, enam episod yang sudah bersiaran menerusi platform penstriman iQIYI juga perlu diturunkan buat sementara waktu sehingga proses suntingan selesai dan keputusan rasmi diperoleh.