Sekilas
- Fadlan Hazim kini lebih aktif di TikTok dan YouTube kerana kurang berminat dengan kandungan dan suasana Instagram yang dianggapnya kurang sesuai.
- Pelakon itu memilih untuk menjauhkan diri daripada aplikasi Threads kerana tidak selesa dengan kandungan negatif dan keluhan yang sering muncul di sana.
- Fadlan akan membawakan watak Sarjan Apot dalam filem Takluk 2: Op Daulat yang turut menampilkan pelakon terkenal lain seperti Syafiq Kyle dan Remy Ishak.
Pelakon Fadlan Hazim nafi dirinya menghilang daripada media sosial, sebaliknya kini lebih aktif menerusi platform TikTok dan YouTube berbanding Instagram.
Fadlan atau nama sebenarnya Fadlan Hazim Anuwar, 34, berkata, dia semakin kurang berminat menggunakan Instagram kerana suasana serta kandungan platform tersebut tidak lagi menepati kecenderungannya.
Menurutnya, dia kini lebih gemar mengikuti dan menghasilkan kandungan berkaitan masakan serta hobi, selain mendapatkan ilmu menerusi perkongsian pengguna lain.
“Bukan menghilang daripada industri atau dunia. Saya sekarang lebih banyak ada di TikTok dan YouTube.
“Saya rasa suasana Instagram dah tak kena dengan saya. Saya kehilangan minat, cuma masih mengemas kini perkara berkaitan kerja sebab ada peminat dan pengikut yang suka mengikuti perkembangan saya,” katanya.
Fadlan berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis pelancaran lembut filem Takluk Op: Daulat 2 di Kementerian Pertahanan (MINDEF), semalam.
Mengulas lanjut, Fadlan berpandangan kandungan Instagram lebih tertumpu kepada gaya hidup, foto estetik serta paparan sisi kehidupan yang menggembirakan.
Bagaimanapun, dia menegaskan tanggapan tersebut merupakan pendapat peribadi berdasarkan kandungan yang dilihatnya sendiri.
“Pada pandangan saya, Instagram lebih kepada gaya hidup, gambar estetik dan kehidupan bahagia. Ramai yang tunjuk satu sisi sahaja.
“Berbanding TikTok, kandungannya lebih bersahaja dan nyata. Ada vlog pendek, tutorial dan macam-macam lagi. Setiap minit ada ilmu yang boleh dipelajari,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai platform yang popular dalam kalangan selebriti sekarang iaitu Threads, Fadlan mendedahkan dia sudah memadam aplikasi tersebut daripada telefon.
Katanya, keputusan tersebut dibuat kerana dia kurang selesa dengan kandungan berbentuk keluhan yang kerap muncul pada garis masanya.
“Ini mungkin ‘timeline’ (garis masa) saya sahaja, tetapi kebanyakannya orang mengadu tentang kehidupan atau bergaduh dengan seseorang.
“Saya menggunakan media sosial untuk menghiburkan diri dengan kandungan menarik, resipi atau perkongsian tip, ilmu dan maklumat berguna.
“Saya tak nak hadam kandungan yang membawa suasana negatif. Saya pun ada masalah sendiri, kemudian nak baca pula orang lain mengadu tentang kehidupan mereka,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Fadlan bakal tampil membawakan watak Sarjan Apot menerusi filem Takluk 2: Op Daulat.
Filem arahan Zulkarnain Azhar itu turut dibintangi Syafiq Kyle, Remy Ishak dan Kamal Adli.