Sekilas
- Datuk Seri Siti Nurhaliza kini aktif membalas komen netizen di platform Threads selepas Konsert Legacy 30: Passion, Sincere and Love baru-baru ini.
- Gaya balasan komen Siti yang santai membuatkan netizen terkejut dan ada yang bergurau suruh anaknya, Muhammad Afwa, tutup Wi-Fi supaya Siti berhenti membalas komen.
- Konsert Legacy 30 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil menarik lebih 65,000 peminat dan menjadi titik mula Siti lebih aktif di media sosial.
Sejak akhir-akhir ini, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dilihat sangat aktif di platfrom Threads.
Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin dilihat sering membalas komen netizen selepas berakhirnya Konsert Legacy 30: Passion, Sincere and Love, baru-baru ini.
Lebih menarik, komen yang ditinggal oleh pelantun lagu Wajah Kekasih itu sangat bersahaja sehingga ada yang merasakan itu bukanlah tuan badan yang membalasnya.
Bahkan ada juga yang berseloroh meminta anak kedua kepada Siti iaitu Muhammad Afwa agar menutup router internet bagi mengelakkan ibunya dari terus membalas komen netizen.
“Afwa tutup Wi-Fi, ibu (Siti Nurhaliza) dah jadi netizen ni.
“Afwa mana Afwa? Tolong tutup internet ibu. Ibu rancak main Threads, meriah bebebenar nama ibu.
“Afwa tolong tutup Wi-Fi, ibu makin menjadi-jadi ni. Love Tokti,” komen netizen.


Sekadar info, Konsert Legacy 30: Passion, Sincere and Love baru sahaja berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu lalu dengan dibanjiri lebih 65,000 peminat.
Selepas berakhirnya konsert tersebut, Siti dilihat semakin aktif berbalas komen bersama netizen di aplikasi Threads.
Sumber: Threads.