Skip to main content

Hiburan

‘Malaikat Malam’ Bawa Nafas Baharu Filem Aksi Motosikal & Cinta

Malaikat Malam

Sekilas

  • Filem Malaikat Malam menggabungkan aksi motosikal penuh adrenalin dengan kisah cinta dan konflik emosi watak utama, Azam, yang diperankan oleh Syafiq Kyle.
  • Filem ini menampilkan naratif yang lebih mendalam tentang kesetiaan, pengorbanan, dan peluang untuk berubah dalam dunia ‘mat motor’ yang sering distereotaip negatif.
  • Gabungan empat penerbit utama Malaysia menjanjikan produksi berkualiti tinggi dengan fokus pada penceritaan dan pembangunan watak, kini sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Menggabungkan aksi kelajuan penuh adrenalin dengan kisah cinta, filem Malaikat Malam merupakan taruhan terbaru daripada empat penerbit terkemuka Malaysia, Viper Studios, Skop Productions, Astro Shaw dan Primeworks Studios, yang sudah pun mula ditayangkan dan menggegarkan pawagam seluruh negara bermula hari ini.

Filem ini memberi fokus kepada perjalanan seorang ‘mat motor’ yang berdepan dilema di antara kehidupan yang membentuk dirinya dan impian untuk keluar daripada situasi tersebut. Dalam masa yang sama, kehadiran seseorang yang menjadi ‘cahaya’ dalam hidupnya membuka ruang kepada perubahan yang tidak disangka.

Berbeza daripada filem ‘rempit’ lain yang menumpukan aksi motosikal semata-mata, Malaikat Malam turut memberi penekanan kepada hubungan di antara watak, terutama tentang kesetiaan dan pengorbanan yang mampu mempengaruhi tujuan hidup seseorang. Naratif ini mencerminkan realiti bahawa setiap individu mempunyai peluang untuk merubah kehidupan yang lebih baik walaupun berada dalam dunia yang dipandang negatif.

Menurut Pengerusi Skop Productions dan Penerbit Eksekutif Filem Malaikat Malam iaitu Datuk yusof Haslam, pembikinan filem ini adalah bertujuan untuk mengangkat semula genre dunia permotoran.

“Kami melihat Malaikat Malam sebagai satu usaha untuk mengangkat semula genre pemotoran dengan pendekatan yang lebih kemas dari segi penceritaan dan pembikinan.

“Kami memberi penekanan kepada disiplin produksi, kekuatan skrip serta pembangunan watak supaya filem ini tidak hanya bergantung kepada aksi semata-mata. Pada masa sama, penting untuk kami memastikan karya ini mempunyai nilai tontonan yang kukuh dan mampu berdiri sebagai sebuah naskhah yang berkualiti dalam landskap industri perfileman tempatan hari ini,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Bersama Malaikat Malam yang juga merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berpendapat filem ini berpotensi membawakan watak ikon baharu dalam dunia permotoran.

“Genre pemotoran atau ‘rempit’ sentiasa mendapat tempat di hati penonton tempatan. Melalui Malaikat Malam, kami mempersembahkan versi yang lebih relevan.

“Filem ini memperlihatkan watak utama lakonan Syafiq Kyle meneruskan legasi watak ikonik ‘mat motor’ dan berpotensi muncul sebagai watak ikon baharu pemotoran.

Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama sekali lagi dengan rakan penerbit Viper Studios, Skop Productions, dan Primeworks Studios. Gabungan kreatif ini membolehkan kami mempersembahkan filem penuh adrenalin serta menyentuh sisi kemanusiaan dalam konteks impian, pilihan, dan peluang. Kami yakin elemen tersebut menjadikan filem ini dekat dengan penonton.”

Dalam masa yang sama, pengarah filem Malaikat Malam iaitu Nazifdin Nasrudin menyatakan filem ini ingin membawa penonton melihat dunia tersebut dari perspektif yang lebih manusiawi.

“Sebagai pengarah, saya ingin membawa Malaikat Malam lebih daripada sekadar filem aksi pemotoran. Bagi saya, cerita ini adalah tentang manusia, pilihan, penyesalan dan harapan untuk berubah.

Dunia ‘mat motor’ sering dilihat dari sudut stereotaip, jadi saya cuba mengangkat perspektif yang lebih jujur dan berlapis, supaya penonton dapat memahami apa yang mendorong mereka.

“Saya juga memberi fokus kepada keseimbangan antara aksi dan emosi, agar setiap babak bukan sahaja mendebarkan, tetapi juga mempunyai jiwa”

Malaikat Malam mengisahkan perjalanan hidup seorang ‘mat motor’ bernama Azam yang secara tidak sengaja melanggar seorang gadis buta, Ratna. Ia menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya. Namun, apabila dendam lama, pengkhianatan dan tragedi mula menghimpit, Azam terpaksa berdepan dengan realiti yang tidak dapat dielakkan. 

Malaikat Malam menampilkan pelakon versatil Syafiq Kyle sebagai Azam, seorang pelumba jalanan dengan konflik emosi di sebalik kehidupan berisiko. Menerusi watak Azam, Syafiq Kyle buat pertama kalinya menyahut cabaran membawakan karakter seorang ‘mat rempit’, memperlihatkan transformasi lakonan yang lebih berani dan berbeza daripada penampilan sebelum ini. 

Turut menampilkan barisan pelakon mantap, termasuk Tracie Sinidol sebagai gadis buta, yang membawa dimensi tersendiri kepada cerita, serta kemunculan semula Que Haidar ke layar perak yang dinantikan ramai. Pelakon lain yang mencuri tumpuan ialah Amir Nafis, Kodi Rasheed, Juzzthin, Akmal Asyraf dan Riezman Khuzaimi, yang menjanjikan kombinasi watak yang bertanaga dan meninggalkan kesan. 

Tiket filem Malaikat Malam sudah boleh didapatkan di seluruh pawagam berdekatan anda bermula hari ini. Gunakan #MalaikatMalam2026 di semua platform digital dan ikuti perkembangan dan info terkini filem di akaun media sosial Viper Studios, Skop Productions, Astro Shaw, Primeworks Studios.

Anda mungkin berminat dengan

TIMEPHORIA Spark 2 in 1 Face Contour Highlighter Cream To Powder Silky Texture Longlasting Waterproof

TIMEPHORIA Spark 2 in 1 Face Contour Highlighter Cream To Powder Silky Texture Longlasting Waterproof

SHEGLAM Glowchi Bouncy Highlighter

SHEGLAM Glowchi Bouncy Highlighter

TIMAGE Tri-color Contouring Plate

TIMAGE Tri-color Contouring Plate

GRAPHIC Super PUMA Pocket T-Shirt Men in Dusky Gray, L

GRAPHIC Super PUMA Pocket T-Shirt Men in Dusky Gray, L

SHEGLAM Buttery Bliss Face Blush Stick

SHEGLAM Buttery Bliss Face Blush Stick

adidas Adicolor Trefoil T-Shirt - Brown

adidas Adicolor Trefoil T-Shirt - Brown

Must-Watch Video

Advertisement