Sekilas
- Meerqeen akui tidak boleh halang netizen menggali kisah lama artis dan anggap itu lumrah dalam dunia selebriti.
- Dia memilih untuk fokus pada kerjaya, keluarga, dan perniagaan tanpa melayan kecaman di media sosial.
- Meerqeen bandingkan situasi ini dengan dunia bola sepak, di mana kisah lama pemain tetap dibicarakan walaupun sudah lama berlalu.
Pelakon, Meerqeen mengakui tidak mempunyai kuasa untuk menghalang tindakan segelintir netizen yang gemar menggali semula ‘jejak digital’ ataun kisah aib lama seseorang artis.
Menurut Meerqeen atau Muhammad Meerqeen Shauqeen Shaiful Izam, 25, perkara tersebut telah menjadi lumrah dalam kehidupan seorang selebriti dan memilih untuk tidak terlalu memberi fokus terhadapanya.
“Risau itu tidak, sebab saya rasa apa-apa cerita pun orang akan tetap bercakap. Saya cuma perlu lebih berhati-hati. Kalau boleh, saya tidak mahu perkara sebegini mengganggu fokus saya dalam lakonan atau ‘mencacatkan’ perjalanan naskhah yang sedang dipromosikan.
“Saya pernah baca satu ungkapan, iaitu apabila orang mula bercakap tentang anda, itu bermakna anda sudah sampai ke satu tahap pencapaian yang kukuh dalam kerjaya. Ia adalah realiti,” katanya kepada Gempak ketika ditemui semasa sesi bersama media drama The Hidden Hand.
Aktor yang popular dengan drama Thariq Ridzuwan: His Treasure itu juga memberi bayangan bahawa situasi yang berlaku kepadanya sama seperti apa yang berlaku dalam dunia sukan bola sepak dunia.
“Kita hidup di zaman media sosial memang susah nak abaikan atau padamkan begitu sahaja. Cristiano Ronaldo pun orang masih bercakap tentang zamannya di Manchester United sehingga sekarang. Jadi, perkara sebegini akan sentiasa ada,” ujarnya.
Bagaimanapun, Meerqeen menegaskan bahawa dia kini tidak mahu membuang masa melayan kecaman sebaliknya memilih untuk memberi perhatian kepada perkara yang lebih penting dalam hidupnya.
“Perkara ini memang sudah ada di media sosial bukan salah diri sendiri atau orang yang mencari juga. Apa yang penting ialah kita bangkit semula selepas melalui fasa trauma dan kecaman dalam kerjaya kita.
“Saya malas layan kecaman, tahun ini saya mahu fokus kepada kerjaya, keluarga dan perniagaan. Saya sekarang sudah 25 tahun malas layan perkara remeh.
“Saya besarkan peluang mahu jaga adik-adik dan jaga keluarga saya. Saya nak berikan masa depan terbaik untuk keluarga dan saya kena bersedia,” tambahnya.
Terdahulu, kecoh di media sosial apabila warganet mula berkongsi kembali kisah silam artis Malaysia yang pernah terlibat dengan skandal membabitkan seorang pempengaruh wanita dari Singapura.
Selain Amir Ahnaf dan Niezam Zaidi, Meerqeen juga menjadi nama yang terheret dalam perbincangan berkenaan.