Sekilas
- Aina Abdul akan mewakili Malaysia dalam pertandingan sulung Eurovision Song Contest Asia 2026 di Bangkok malam ini dengan lagu ciptaannya, Bluest Sky.
- Beliau menerima sokongan padu daripada peminat, selebriti tanah air termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Selain rakyat Malaysia, sokongan juga datang dari negara jiran seperti Indonesia dan Singapura dalam usaha meraih undian di peringkat antarabangsa.
Penyanyi dan komposer, Aina Abdul bakal menggalas tanggungjawab besar apabila mewakili Malaysia dalam pertandingan sulung Eurovision Song Contest Asia 2026 yang berlangsung di Bangkok, Thailand, malam ini.
Menjelang detik penting itu, Aina bukan sahaja menerima sokongan padu daripada peminat setianya, malah turut mendapat perhatian serta kata-kata semangat daripada barisan selebriti tanah air.
Menerusi satu hantaran di Threads sebelum ini, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut menyatakan sokongan terhadap Aina yang bakal membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.
“Jom semua kita bagi sokongan buat adik saya Aina Abdul!! Kita doakan kejayaan menjadi miliknya,” tulisnya.
Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menitipkan ucapan selamat maju jaya buat Aina dan menyifatkan penyertaan tersebut sebagai bukti bahawa bakat serta karya anak Malaysia mampu melangkah jauh dan bersaing di peringkat antarabangsa.
“Menang atau sebaliknya, Aina tetap kebanggaan kita semua. Terbang tinggi, Aina!” titipnya.
Selain itu, antara rakan artis yang turut menitipkan kata-kata semangat buat pelantun lagu Terus Hidup itu termasuk Misha Omar, Wani Kayrie, Datuk Ziana Zain, Nourul Depp, Nadeera, Ani Mayuni, Ayda Jebat, Aisha Retno, Shiha Zikir, Ernie Zakri, Noh Salleh, Cakra Khan, Wany Hasryta, Khai Bahar, Sarah Suhairi, Amsyar Lee, Datuk Seri Aliff Syukri, Datuk Seri Vida, Amir Masdi,Idayu, Janna Nick dan Mimi Fly.
Dalam pada itu, peminat serta rakyat Malaysia juga dilihat tidak henti-henti mempromosikan persembahan Aina bagi meraih undian daripada penonton di seluruh dunia.
Lebih membanggakan, sokongan bukan sahaja hadir daripada rakyat Malaysia, malah rakan-rakan dari negara jiran seperti Indonesia dan Singapura turut menyatakan sokongan buat Aina dalam pertandingan berprestij itu.
Untuk rekod, Aina bakal mempertaruhkan lagu berjudul Bluest Sky, hasil ciptaannya bersama Mac Chew, dalam pertandingan yang menghimpunkan wakil dari 11 negara Asia itu.
Aina dijadualkan membuat persembahan sebagai peserta terakhir daripada keseluruhan 11 wakil yang bertanding.
Antara negara yang turut memberikan saingan kepada Malaysia termasuk Thailand, Korea Selatan, Filipina, Vietnam, Kemboja dan Bhutan.