Sekilas
- Pelakon Aniq Suhair meluahkan rasa dukacita atas pemergian Tun Dr Hasmah Mohamad Ali yang banyak berbakti dalam bidang kesihatan, khususnya kebajikan ibu dan anak.
- Beliau dikenang sebagai doktor wanita yang memperjuangkan suara wanita dan kemanusiaan di peringkat antarabangsa, termasuk ketika konflik di Bosnia dan Iraq.
- Aniq memuji kesetiaan Tun Dr Hasmah sebagai isteri dan pengabdian beliau sepanjang hayat untuk berbakti kepada masyarakat Malaysia.
Pemergian Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohamad Ali merupakan kehilangan besar buat negara Malaysia.
Pelakon Aniq Suhair turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian tokoh wanita berkenaan menerusi perkongsian di platform Threads.
Menurut Aniq, Tun Dr Hasmah banyak menabur bakti dalam bidang kesihatan, khususnya memperjuangkan kebajikan ibu dan anak ketika Malaysia masih membangun.
“Beliau seorang doktor wanita yang memilih untuk berbakti kepada anak bangsa. Beliau memperjuangkan kesihatan ibu dan anak ketika negara masih bertatih.
“Beliau membawa suara wanita dan kemanusiaan hingga ke pentas dunia. Beliau menjejak bumi Bosnia ketika perang masih bergolak dan Iraq ketika krisis kemanusiaan mencengkam.
“Beliau seorang isteri yang setia berdiri di sisi suami, merentas segala ranjau dan duri perjalanan,” kongsi Aniq.
Tambah pelakon filem Bisikan Nafsu itu, sepanjang hayat Tun Dr Hasmah, beliau banyak mengabdikan diri untuk berbakti kepada masyarakat.
“Tun Dr Hasmah, seumur hayatnya adalah tentang memberi dan berbakti kepada manusia.
“Moga Allah berikan syurga kepadanya. Malaysia kehilangan Ibu negara… Al-Fatihah,” kata Aniq.
Sumber - Threads