Skip to main content

Berita Tempatan

Malaysia Kukuhkan Kedudukan Industri Filem! Rekod Kutipan Box Office RM164 Juta Tahun Lalu, Kini Inisiatif Dana Co-Production Di ASEAN Film & TV Summit 2025

asean_film

Industri filem Malaysia terus menunjukkan kemajuan menggalakkan apabila mencatatkan kutipan box office melebihi RM164 juta hasil daripada 59 filem di bawah Skim Wajib Tayang, dengan 13 daripadanya mencapai status pecah panggung, kata Timbalan Menteri Komunikasi YB Teo Nie Ching.

Menurut beliau, sepanjang tahun 2024 Malaysia menghasilkan 58 filem, dan 13 daripadanya berjaya menjadi filem box office dengan kutipan keseluruhan RM117.19 juta. Pada tahun sebelumnya, 62 filem diterbitkan dengan 16 mencatat kejayaan box office, mengumpul RM102.66 juta.

Advertisement

Beliau berucap semasa Majlis Makan Malam Gala ASEAN Film & TV Summit 2025 Siri 2 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, Pengerusi FINAS Datuk Hans Isaac, Presiden PTVM Datuk Jury Latiff Rosli, dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.

Inisiatif Dana Co-Production ASEAN

YB Teo Nie Ching turut mengumumkan bahawa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sedang mengkaji penubuhan Dana Co-Production khusus untuk kandungan televisyen sebagai langkah memperkukuh sokongan terhadap industri tempatan serta membuka peluang kolaborasi serantau dalam kalangan negara ASEAN.

Beliau menegaskan bahawa kerjasama serantau amat penting untuk perkongsian bakat, teknologi dan pasaran, selain memastikan semua negara anggota ASEAN berkembang bersama.

“Apabila kita bergerak bersama, label ‘Made in ASEAN’ boleh berdiri sebagai tanda kebanggaan dan kecemerlangan kreatif yang diiktiraf di seluruh dunia. Inisiatif ini akan memperkasakan industri kandungan televisyen ASEAN untuk bersaing di peringkat global,” katanya.

Menurut beliau, sebanyak 149 projek telah diluluskan di bawah Insentif Filem di Malaysia (FIMI), terdiri daripada 56 penerbitan antarabangsa dan 93 penerbitan tempatan. Kerajaan telah menyalurkan RM189.9 juta dalam bentuk rebat, yang berjaya menarik pelaburan langsung berjumlah RM1.05 bilion serta mewujudkan 13,041 peluang pekerjaan.

Negara-negara yang terlibat termasuk China, Amerika Syarikat, United Kingdom, Finland, Denmark, Australia, Indonesia, Jepun, Perancis dan Itali. Di bawah Belanjawan 2025, sejumlah RM40 juta diperuntukkan untuk FIMI, dan sehingga September 2025, RM39.28 juta telah disalurkan bagi menyokong 32 projek (12 antarabangsa dan 20 tempatan) yang menjana 2,766 peluang pekerjaan.

Kejayaan ASEAN Film & TV Summit 2025

Majlis makan malam gala ini diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN Film & TV Summit 2025 Siri 2, yang turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Penerbitan Bersama Antarabangsa antara syarikat-syarikat produksi ASEAN, selain pembacaan Deklarasi Belia Kreatif ASEAN serta penyampaian Anugerah MBM Film Lab dan Pertandingan TikTok.

Sidang kemuncak yang berlangsung dari 28 hingga 30 Oktober ini menghimpunkan penerbit, pengarah, pemimpin belia dan pengamal media dari seluruh ASEAN dalam pelbagai sesi perbincangan, persembahan kreatif dan aktiviti jaringan profesional. Program ini dianjurkan oleh PTVM dan MBM dengan sokongan strategik daripada FINAS, bertujuan memperkukuh kolaborasi serantau dan menjadikan Asia Tenggara sebagai hab kreatif bertaraf dunia.

Sidang ini berjaya menarik lebih 300 delegasi dari 10 negara ASEAN, termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, Brunei, Kemboja, Filipina dan Singapura.

Antara kemuncak acara ialah pengumuman pemenang Pertandingan Filem Pendek MBM Film Lab dan Pertandingan TikTok.

Anugerah Best Short Film (RM5,000): Team 4 “Chaos Calls!” (Daniel Rafiq, Nur Azizah, Taufiq Tarmizi, Usamah Ulwan, William Mikha, Dr Suba)

Anugerah Best ASEAN Representation: Team 5 “SEA-Food” (Eizz Adam, Nurul Insyirah, Shazri Hajiem, Vaishmita, Yashene)

Anugerah Best Technical: Team 1 “How Can You Tell?” (Muhd Haiqal, Nufael Al-Haq, Nyong Ling Soo, Sin Ru Lim, Vibol, Yusuf Aibil)

Pertandingan TikTok:

Tempat pertama (RM3,000): Phoumvibol Phal (Kemboja)

Tempat kedua (RM2,000): Yashene Priyanka Perumal (Malaysia)

Tempat ketiga (RM1,000): Usamah Ulwan (Indonesia)

Kerjasama TikTok dan Belia Kreatif MADANI

Menambah momentum industri kreatif, TikTok Malaysia mengumumkan kerjasama dengan FINAS dan Belia Kreatif MADANI, menyalurkan kredit iklan bernilai USD20,000 kepada akaun rasmi TikTok FINAS.

Sokongan ini bertujuan memperluas capaian kempen kreatif berasaskan belia, promosi filem serta inisiatif budaya ASEAN, sekali gus menunjukkan komitmen TikTok dalam memperkasa komuniti kreatif melalui inovasi digital.

Sidang kemuncak ini diakhiri dengan lawatan rasmi ke FINAS, RTM dan Astro, memberikan peluang kepada para delegasi untuk meninjau lebih dekat ekosistem produksi dan penyiaran di Malaysia.

Must-Watch Video

Advertisement