Sekilas
- Bujang On Duty, pilot episod Malaysian Host Wanted Musim Kedua, mengetengahkan cabaran selebriti bujang menjaga anak kecil selama lima jam tanpa bantuan ibu bapa.
- Badron Munirah dipilih untuk menjaga Jibril, anak kecil yang sering tantrum, sambil menyelesaikan beberapa cabaran sepanjang tempoh penjagaan.
- Penonton boleh menonton program ini setiap Isnin jam 11 malam di Astro Ria, Sooka dan Astro GO serta mengundi calon juara di www.gempak.com/malaysianhostwanted.
Lima jam mungkin kedengaran singkat, tetapi apabila berdepan anak kecil yang mula tantrum, setiap minit boleh terasa seperti satu ujian besar!
Itulah antara cabaran yang mewarnai Bujang On Duty, pilot episod Haili Habibti yang dipaparkan dalam episod ketiga Malaysian Host Wanted Musim Kedua.
Seperti yang dijanjikan ketika Pitching Day, Haili membawakan sebuah program realiti hiburan yang menggabungkan elemen menghiburkan dan menyentuh hati.
Konsepnya? Menguji kemampuan selebriti bujang Malaysia menjaga seorang anak kecil selama lima jam tanpa bantuan ibu bapanya.
Bagi merealisasikan idea tersebut, Haili memilih Badron Munirah untuk menggalas tugas menjaga anak kecil bernama, Jibril.
Badron bukan sahaja perlu melayan kerenah si kecil, malah turut diberikan beberapa cabaran yang perlu diselesaikan sepanjang tempoh penjagaan.
Namun, nampaknya bukan Badron seorang yang diuji! Ketika Jibril mula meragam, mengalami tantrum dan sukar mengikut arahan, Haili serta pihak produksi turut berdepan cabaran untuk memastikan penggambaran berjalan seperti yang dirancang.
Di sinilah kebolehan Haili sebagai pengacara dan penerbit benar-benar diuji. Dalam situasi yang lari dari perancangan, Haili perlu mengawal rentak penggambaran sambil memastikan momen penting untuk programnya tidak terlepas.
Di sebalik gelagat mencuit hati dan cabaran bersama si kecil, penonton turut menyaksikan perjalanan Haili menghasilkan Bujang On Duty daripada persiapan dan pre-production, pencarian lokasi serta pengurusan penggambaran hinggalah ke proses editing.
Hasil pilot episod ini kemudiannya dinilai oleh barisan juri tetap, Datuk Aznil Haji Nawawi, Awal Ashaari, Yasmin Hani dan di temani seorang Juri Jemputan bagi setiap episod, Hawa Rizwana manakala Sherry Al-Hadad mengendalikan pertandingan sebagai pengacara.
Penonton juga boleh mengundi calon juara pilihan mereka menerusi www.gempak.com/malaysianhostwanted. Hanya seorang bakal bergelar juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000.
Saksikan Malaysian Host Wanted Musim Kedua, setiap Isnin, jam 11 malam di Astro Ria, Sooka dan Astro GO!