Sekilas
- Ili Ruzanna menghasilkan program Mak Masak Boleh? yang mengangkat hubungan antara makanan, kenangan dan kasih sayang seorang ibu dalam Malaysian Host Wanted Musim Kedua.
- Dalam episod pilot, Ili memasak bersama Ibu Khuzaimah, seorang cancer survivor, dan menampilkan tetamu jemputan Nabil Ahmad yang berkongsi kisah kehilangan arwah bapanya.
- Program ini diuji dari segi penceritaan dan penghasilan televisyen, dengan penilaian oleh juri terkenal dan peluang penonton mengundi calon juara di gempak.com.
Ada rasa yang sukar digambarkan apabila menikmati masakan yang mengingatkan kita kepada insan tersayang. Bagi Ili Ruzanna, kerinduan terhadap masakan arwah ibunya menjadi inspirasi kepada Mak Masak Boleh?, pilot episodnya yang dipaparkan dalam episod kelima Malaysian Host Wanted Musim Kedua.
Seperti yang dibentangkan ketika Pitching Day, Ili membawakan sebuah program yang mengangkat hubungan antara makanan, kenangan dan kasih sayang seorang ibu.
Menerusi program ini, Ili mengunjungi rumah ibu-ibu daripada pelbagai latar belakang untuk memasak bersama, menikmati hidangan dan berkongsi kisah kehidupan masing-masing.
Dalam pilot episod kali ini, Ili bertemu dengan Ibu Khuzaimah, seorang cancer survivor yang mempunyai kisah kehidupannya tersendiri. Sesi memasak bersama bukan sekadar berkisar tentang penyediaan hidangan, malah membuka ruang untuk mereka berkongsi pengalaman, kenangan dan perjalanan hidup.
Lebih istimewa, episod ini turut menampilkan kemunculan mengejut Nabil Ahmad sebagai tetamu jemputan! Nabil bukan sahaja berpeluang menikmati masakan Ibu Khuzaimah, malah turut berkongsi kisah kehilangan arwah bapanya. Perkongsian tersebut menjadikan pertemuan mereka lebih bermakna apabila masing-masing bercerita tentang kerinduan terhadap insan yang sudah tiada.
Namun, menghasilkan Mak Masak Boleh? bukanlah semudah yang dirancang. Cabaran terbesar Ili adalah menyesuaikan diri daripada menghasilkan kandungan digital berdurasi pendek kepada sebuah program televisyen yang memerlukan penceritaan lebih panjang dan tersusun. Ili perlu memastikan setiap perkongsian, momen dan emosi yang dirakam dapat disampaikan dengan baik kepada penonton.
Daripada persiapan dan pre-production, penggambaran hinggalah ke proses editing, perjalanan ini turut menguji kemampuan Ili sebagai pengacara dan penerbit. Hasil pilot episod ini dinilai oleh Datuk Aznil Haji Nawawi, Awal Ashaari dan Yasmin Hani, bersama juri jemputan Hawa Rizwana.
Sherry Al-Hadad pula bertindak sebagai pengacara sepanjang pertandingan. Penonton juga boleh mengundi calon juara pilihan mereka menerusi www.gempak.com/malaysianhostwanted.
Hanya seorang bakal dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000! Saksikan Malaysian Host Wanted Musim Kedua, setiap Isnin, jam 11 malam di Astro Ria, Sooka dan Astro GO!