Berpeluang untuk berjumpa dengan selebriti antarabangsa seperti Ariana Grande & Chyntia Revero, finalis Malaysian Host Wanted (MHW), Daniel Cheang mahu memberi pengalaman sama dengan peminat-peminat selebriti di Malaysia menerusi program Meet Your Idol.
Menggalas tanggungjawab sebagai penerbit dan pengacara untuk episod pilot atau episod percubaan ini Daniel cuba memberi peluang eksklusif kepada peminat setia untuk bertemu idola mereka melalui pengalaman yang intim dan penuh makna.
Dalam format rancangan ini, peminat perlu menghantar video penyertaan yang menjelaskan mengapa mereka wajar dipilih. Daripada semua penyertaan yang diterima, tiga peminat bertuah akan dipilih untuk menyertai rancangan ini dan berpeluang bertemu secara langsung dengan artis kegemaran mereka.
Untuk episod pilot Meet Your Idol, impian peminat direalisasikan dengan mempertemukan mereka bersama kumpulan M-Pop Alpha, sebuah kumpulan yang ditubuhkan menerusi rancangan Big Stage Alpha.
Pertemuan eksklusif ini bukan sahaja menampilkan momen penuh emosi, malah memperlihatkan hubungan akrab antara idola dan peminat yang jarang disaksikan di kaca televisyen.
30 minit pertama episod ketiga akan memaparkan belakang tabir perjalanan Daniel dalam menghasilkan episod pilot Meet Your Idol bermula daripada pembangunan konsep, penyusunan kandungan, cabaran produksi, sehinggalah proses penggambaran sebenar.
Segmen ini memberi gambaran realistik tentang tekanan dan tanggungjawab seorang hos yang turut bertindak sebagai penerbit kandungan.
Manakala 30 minit seterusnya akan menampilkan tayangan penuh episod pilot Meet Your Idol, disusuli sesi tontonan dan penilaian oleh barisan juri.
Episod ini akan disaksikan dan dikritik secara profesional oleh hos dan juri tetap Sherry Al-Hadad, bersama dua juri berpengalaman industri, Datuk Aznil Haji Nawawi dan Awal Ashaari, serta rakan-rakan wartawan yang turut memberikan reaksi dan kritikan membina.
Anda juga berpeluang untuk mengundi finalis Malaysian Host Wanted di laman web Gempak. 30 undian diberikan setiap hari.
Pemenang Malaysian Host Wanted bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, selain peluang membuka laluan kerjaya sebenar sebagai hos di Astro menjadikan rancangan ini platform realistik untuk melahirkan hos berkualiti tinggi yang bersedia menghadapi industri sebenar.