Sekilas
- Malique memuat naik foto konsert GenKRU The Finale: One More Time di Instagram, mencetuskan spekulasi peminat tentang kehadirannya.
- Penganjur Iman Tang mengesahkan Malique ada hasrat hadir tetapi bergantung pada kesihatan dan kesediaannya.
- Iman kini menguruskan kerjaya Malique, namun akaun Instagram penyanyi itu diurus sendiri olehnya.
Penyanyi rap dan komposer, Malique mencetuskan spekulasi dan tanda tanya dalam kalangan peminat apabila memuat naik foto suasana konsert GenKRU The Finale: One More Time di Stadium Hoki Bukit Jalil menerusi Instagram miliknya.
Menurut penganjur konsert iaitu Iman Tang, Malique ada menyuarakan hasrat untuk hadir ke konsert tersebut, namun semuanya bergantung kepada tahap kesihatan serta kesediaannya untuk bertemu dan tampil di khalayak ramai.
"Saya selalu berborak dengan Malique, dia cakap teringin nak pergi tengok konsert. Lama tak keluar, jarang sekali. Saya cakap kalau free datanglah ke konsert KRU ini.
"Waktu tu ada juga dia tanya ada apa-apa boleh tolong ke, kebetulan saya memang ada tiket konsert KRU tu dan dia cakap nak kongsi di IG tolong promosikan. Maklumlah dia pun baru buat IG," katanya.
Iman berkongsi perkara tersebut usai konsert GenKRU The Finale: One More Time yang diadakan di Stadium Hoki Bukit Jalil pada malam Sabtu.
Ketika ditanya tentang kemungkinan Malique untuk muncul pada malam konsert, Iman berkata dia sebenarnya memilih untuk tidak mengambil tahu agar tidak menimbulkan tumpuan berlebihan.
Dalam masa yang sama, Iman menjelaskan bahawa posting Malique yang memuat naik gambar dua keping tiket adalah bagi mempromosikan konsert tersebut.
"Dia ada cakap insya-Allah kalau dia lapang dan yakin dia akan turun pada malam konsert. Saya cakap jangan beritahu nak datang sebab saya akan berjumpa dengannya dan ia pasti akan menarik perhatian ramai nanti.
"Kalau nak datang, datang sendiri. Sampai petang tadi (Sabtu) dia cakap tak berapa sihat dan saya cakap terpulang padanya. Kalau tak mahu datang pun saya faham," ujarnya.
Dalam masa yang sama, Iman mengesahkan dia kini menguruskan kerjaya Malique, namun menegaskan bahawa akaun Instagram milik penyanyi rap diuruskan sendiri oleh berkenaan.
"Mungkin ada yang dah tahu sekarang ini memang saya uruskan (kerjaya) Malique. Dalam Instagram dia pun ada nama saya tetapi saya bukan admin, dia pegang sendiri akaun tersebut.
"Apa yang saya ingin kongsikan sebenarnya banyak benda yang dia boleh lakukan tetapi kita faham hidupnya kini penuh privasi. Rasanya sudah 18 tahun tak muncul. Saya sebenarnya pun dah lost count (lupa).
"Saya ada ketika persembahan Too Phat pada 2007 kemudian mereka bergerak sendiri," katanya.
Terdahulu, Malique mencuri perhatian apabila memuat naik foto dua tiket Konsert GenKRU The Finale: One More Time pada Rabu lalu sehingga membuatkan ramai peminat teruja.
Perkongsian itu sedikit sebanyak menimbulkan rasa teruja dalam kalangan peminat yang berharap dapat berpeluan bergemu dengannya.
Malah ada juga yang berharap dapat melihat Maliqe berkongsi pentas dengan KRU.