Sekilas
- Isteri pelawak Mamat Sepah, Nordiana Ibrahim, berkongsi rasa sebak selepas mendukung anak pelawak Shuib, Akira, yang tertidur dalam dakapannya.
- Nana meluahkan kekecewaan apabila sering ditanya soalan sensitif mengenai zuriat yang sukar untuk dijawab.
- Dia bersyukur dengan sokongan suami yang sentiasa memberi semangat dan kekuatan dalam menghadapi ujian tersebut.
Perkongsian isteri kepada pelawak Mamat Sepah, Nordiana Ibrahim, di TikTok mengundang rasa sebak dalam kalangan wargamaya apabila berkongsi luahan hati mengenai zuriat.
Menerusi hantaran tersebut, Nordiana atau lebih mesra disapa Nana mengakui hatinya terusik ketika mendukung anak kepada pelawak Shuib dan Watie Hanifiah, iaitu Akira, sehingga bayi itu tertidur dalam dakapannya.
Menurut Nana, momen indah itu bertukar pilu apabila ada individu bertanyakan soalan yang cukup sensitif buat dirinya.
“Sumpah hati tu agak terusik.. pegang dan dukung Akira sampai dia terlelap buat aku rasa sebak lebih-lebih bila ada makhluk Allah yang bertanya ‘Akak bila lagi?’.
“Aku macam… soalan apa ni?,” tulisnya.
Dalam masa sama, Nana berharap orang ramai lebih peka dan tidak lagi mengajukan soalan berkaitan zuriat kerana ia merupakan perkara yang sukar untuk dijawab.
“Tolong jangan tanya aku soalan yang berat untuk aku jawab dan aku tak ada jawapan untuk soalan tu…cukup hanya korang doakan semoga suatu hari nanti saya akan diberi rezeki dapat baby yang comel dan sihat… Amin🤲🏻” katanya lagi.
Dalam pada itu, Nana turut meluahkan rasa syukur apabila dikurniakan seorang suami yang sentiasa memberi kata semangat dan kekuatan kepadanya apabila melibatkan soal zuriat.
“Yang selalu memberi saya semangat, yang selalu memberi saya kekuatan dan kata-kata positif jika ditanya soal anak adalah dia. Dia yang selalu menyaksikan air mata saya gugur bila ditanya soal zuriat.
“Aku tak kuat… tapi aku akan lebih tenang bila dengan dia. Terima kasih suamiku @mamatsepah… kita cuba dan usaha lagi ok,” tulisnya lagi.
Untuk rekod, Nana dan Mamat mendirikan rumah tangga pada 1 Mac 2020 di Kulai, Johor.
Sumber - TikTok