Skip to main content

Viral

"Masa Nak Sambung Belajar, Kami Sekeluarga Kutip Buah Relai ..." - Kenang Susah, Jaja Ishak Panjat Syukur Terima Anugerah Khas Usahawan Wakaf MARA

jaja mara

Ringkasan AI

  • Jaja Ishak Channel (JIC) diumumkan penerima Anugerah Khas Usahawan Wakaf MARA Madani Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024-2025.
  • Anugerah disampaikan dalam Majlis Anugerah Usahawan MARA di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur baru-baru ini.
  • Jaja Ishak berkongsi kisah cabaran kewangan dan sokongan MARA dalam membangunkan syarikat produksi itu.
  • JIC antara 24 usahawan dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor yang menerima anugerah AURA peringkat negeri.
  • Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.

Perjalanan selama sepuluh tahun membangunkan syarikat produksi Jaja Ishak Channel akhirnya membuahkan hasil apabila syarikat itu diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Usahawan Wakaf MARA Madani Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi edisi 2024 hingga 2025.

Pengiktirafan berprestij tersebut disampaikan dalam Majlis Anugerah Usahawan MARA peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penerbit JIC, Jaja Ishak, menyifatkan kemenangan berkenaan sebagai detik amat bermakna memandangkan kategori itu baru diperkenalkan oleh Majlis Amanah Rakyat bagi menghargai usahawan yang komited memberi semula kepada masyarakat.

“Saya berasal daripada keluarga yang sederhana. Mak dan ayah bekerja sebagai peneroka kelapa sawit. Saya masih ingat masa nak sambung belajar ke universiti, kami sekeluarga kutip buah sawit relai dan angkat pelepah kelapa sawit di ladang.

“Mak dan ayah selalu pesan, tak semestinya bila kita dapat duit banyak, kita kena beri banyak. Kalau ada sikit, beri sikit. Apa yang penting sentiasa memberi dan istiqamah," katanya kepada Gempak.

Pada masa yang sama, Jaja mengakui dunia perniagaan khususnya dalam penerbitan bukan laluan mudah.

Banyak cabaran yang terpaksa ditempuhi termasuk saat-saat getir ketika syarikat berdepan krisis kewangan.

“Kalau diberi pilihan antara berniaga atau makan gaji, saya lebih sanggup makan gaji sebab saya pernah berada di titik paling bawah. Saya pernah tiada duit sampai dikejar pegawai bank, pelabur dan rakan-rakan sebab tak tahu pasang surut dalam industri kreatif ketika itu. 

"Kadang-kadang tawaran kerja tak menentu. Tetapi Alhamdulillah, MARA datang membantu dan beri dorongan untuk saya bangkit semula," ujarnya.

Jaja turut mengenang kembali usaha keras yang dilalui untuk mengangkat JIC sehingga berada pada tahap sekarang.

“Sebenarnya bila kita susah, masih ada ruang untuk bertemu rakan-rakan dan agensi kerajaan yang sudi membantu," tambahnya lagi.

JIC merupakan antara 24 usahawan dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor yang diumumkan sebagai penerima anugerah AURA peringkat negeri. Sebanyak 12 kategori dipertandingkan antaranya Tokoh Usahawan MARA, Anugerah Khas Usahawan Wakaf MARA, Anugerah Jenama Terbaik, Usahawan Aspirasi Wanita dan Program Khas Usahawan.

Majlis penyampaian anugerah itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang. Turut hadir menerima pengiktirafan ialah Pengurus JIC, Didi Zakil.

Must-Watch Video

Advertisement