Masih berpantang selepas mengalami keguguran baru-baru ini, pelakon Fasha Sandha tetap meluangkan masa untuk melawat aktres Amyza Aznan yang kehilangan anak sulungnya selepas bertarung kanser paru-paru tahap tiga pada Isnin.
Menurut Fasha, biarpun dia sendiri sedang melalui fasa sukar, namun kesedihan yang ditanggung Amyza jauh lebih berat.
“Kesedihan saya itu tidaklah sebesar kesedihan Kak Amyza. Sebab tu walaupun saya sedang berehat dan kena duduk rumah tapi saya tak bolehlah, kena pergi juga datang melawat dia.
“Sebab saya dan Kak Amyza memang rapat, dia antara pelakon senior yang memang rapat. Baru berjumpa dengan dia sebab event Datuk Alha Alfa, tak sangka benda ni jadi kat dia bertubi-tubi,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Fasha turut mengambil inisiatif memuat naik hantaran di media sosial bagi mengajak orang ramai membantu meringankan beban Amyza dari segi kewangan.
Katanya, walaupun sumbangan kecil seperti RM1, jika dikumpulkan daripada pengikutnya, ia mampu memberi impak besar.
Menurut Fasha lagi, dalam keadaan berduka, Amyza tidak mampu memberi fokus kepada kerjaya seperti biasa sekali gus memberi kesan kepada sumber pendapatannya.
“Kebetulan siang tadi (Isnin) saya baru buat posting untuk anak dia untuk memohon bantuan daripada pengikut saya membantu walaupun RM1.
“Sebab walaupun followers saya… kirakan 10 atau 20 peratus daripada followers saya bantu walaupun seringgit, ia akan jadi jumlah yang banyak untuk dia. Sebab dia tak dapat kerja. Dalam keadaan dia yang sedih macam tu, dia tak dapat kerja, tak dapat nak fokus pada kerja. Jadi dia perlukan bantuan. Bukan… bukan hanya semangat, juga daripada segi kewangan.
“Saya percaya kita kena sokong dia. Kita kena bagi support pada dia. Sebab tu saya hadir hari ini untuk visit dia,” tambahnya.
Terdahulu, anak kepada pelakon, Amyza Aznan iaitu Andre Mikhail dimaklumkan telah mengembuskan nafas terakhir selepas hampir setahun bertarung melawan kanser paru-paru tahap tiga.
Berita sedih itu diumumkan sendiri oleh Amyza menerusi kemas kini di Instagram Stories pada Isnin.