Sekilas
- Meera Alyanna Mukhriz berkongsi rasa kehilangan neneknya, Allahyarhamah YABhg. Tun Dr. Hasmah binti Mohamad Ali, yang meninggal dunia secara tidak dijangka.
- Meera mengucapkan terima kasih kepada semua yang menghubungi dan memberi kata-kata semangat kepada keluarganya selepas pemergian tersebut.
- Allahyarhamah Tun Dr. Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun dan meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga serta masyarakat.
Cucu kepada Allahyarhamah YABhg. Tun Dr. Hasmah binti Mohamad Ali, Meera Alyanna Mukhriz meluahkan rasa kehilangan selepas pemergian nenek tercinta yang disifatkannya berlaku tanpa diduga.
Menerusi Instagram Story, Meera yang juga anak kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengakui masih sukar menerima hakikat bahawa insan yang mesra dipanggil Tok itu sudah tiada.
“Kami kehilangan Tok secara tidak dijangka hari ini dan masih sukar untuk menerima hakikat bahawa dia sudah tiada.
“Tok meninggalkan kesan yang begitu mendalam dalam hidup saya dan berdasarkan mesej yang diterima, ternyata Tok turut meninggalkan kesan kepada ramai orang,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, Meera turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menghubungi serta menitipkan kata-kata semangat kepada dirinya dan keluarga.
“Saya cuma mahu mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang menghubungi saya atau keluarga hari ini.
“Terima kasih sekali lagi atas setiap mesej. Semuanya sangat bermakna buat kami,” katanya.
Pada masa sama, Meera meminta orang ramai terus menitipkan doa buat Allahyarhamah.
“Tolong terus doakan Tok,” ujarnya.
YABhg. Tun Dr. Hasmah binti Mohamad Ali meninggal dunia pada usia 100 tahun pada 16 Rabiulakhir 1448H.
Pemergian Allahyarhamah meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada ahli keluarga, malah masyarakat yang mengenang jasa serta sumbangannya sepanjang hayat.