Sekilas
- Mawi berkongsi kisah persahabatan erat dengan Syamsul Yusof yang pernah datang menziarah dan melakukan rukyah ketika dia sakit di hospital.
- Tindakan Syamsul membaca ayat al-Quran dan membantu rawatan membuatkan Mawi sangat tersentuh sehingga menitiskan air mata.
- Syamsul juga tampil memeriahkan konsert The Journey Of ‘Mawi World’ bersama beberapa rakan artis lain pada 8 November lalu.
Penyanyi, Mawi menyifatkan pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof sebagai seorang sahabat yang sangat baik dan sentiasa mengambil berat tentang keadaan dirinya.
Berkongsi mengenai persahabatan mereka, pemilik nama Asmawi Ani ini mendedahkan Syamsul pernah datang ke hospital untuk mendoakan dirinya ketika sedang sakit satu ketika dahulu.
Menurut Mawi, tindakan Syamsul yang sanggup datang menziarahinya selain membacakan ayat-ayat suci al-Quran secara rukyah merupakan satu momen yang cukup menyentuh hatinya.
“Dia ‘brother’ saya. Dan sebenarnya ada kisah di sebalik persahabatan kami.
“Duku saya pernah sakit, dan dia datang ke hospital bantu rawat dan rukyah saya.
“Apa yang dibaca dalam filem Munafik menerusi watak Ustaz Adam itulah yang dia baca.
“Dia pegang dahi saya, kemudian dia rukyah. Momen itu membuatkan saya rasa yang Syamsul ini dahsyat orangnya,” katanya kepada Gempak.
Tambah Mawi, momen tersebut juga membuatkan dirinya menitiskan air mata tatkala mengenang keprihatinan Syamsul terhadap dirinya.
“Saya menangis waktu itu tetapi dia tak nampak sebab keadaan waktu itu gelap dan malap saja.
“Saya menangis sebab tersentuh. Dia memang sahabat saya,” tambahnya.
Terdahulu, kemunculan Syamsul yang turut memeriahkan konsert The Journey Of ‘Mawi World’ telah meraih perhatian ramai yang pastinya merindui sosok tubuh pengarah filem KL Gangster itu.
Selain Syamsul, konsert yang berlangsung pada 8 November lalu itu telah menghimpunkan ramai rakan penyanyi yang turut membuat persembahan seperti Datuk AC Mizal, Felix, Daly Filsuf dan Datuk Aznil Haji Nawawi.