Sekilas
- Ayden, anak Bella Astillah, menyampaikan ucapan penuh emosi dan matang semasa majlis resepsi perkahwinan ibunya dengan Syed Saddiq.
- Alif Satar turut terharu dan mendoakan agar doa Ayden dimakbulkan Allah SWT melalui hantaran di Threads.
- Ucapan Ayden mendapat pujian netizen yang kagum dengan keyakinan dan kemahiran pengucapan awamnya tanpa menggunakan skrip.
Penyanyi dan pengacara, Alif Satar turut tersentuh dengan ucapan penuh emosi yang disampaikan anak kepada pelakon, Bella Astillah iaitu Ayden sewaktu majlis resepsi perkahwinan ibunya bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pada Ahad.
Menerusi hantaran di Threads, Alif menitipkan doa buat Ayden agar segala doa yang dipanjatkan oleh kanak-kanak itu dimakbulkan Allah SWT.
“Ucapan Ayden. Semoga Allah menerima doamu, anak muda!” tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet mengakui tidak dapat menahan sebak ketika mendengar ucapan Ayden yang disifatkan cukup matang dan menyentuh hati.
“Tak ada yang tak menangis rasanya, terutama mak-mak. Semoga yang baik-baik buat mereka sekeluarga.
“Ayden punya keyakinan diri dan kemahiran pengucapan awam memang sangat mengagumkan.
“Seusia itu dah matang ya anak. Bukan kaleng-kaleng ucapannya sambil menahan sebak.
“Fakta yang Ayden tak baca skrip itu. Memang banjir air mata depan televisyen tadi.
“Usia masih kecil tetapi dia betul-betul faham apa yang ibunya lalui. Betul-betul anak yang baik dan pandai menyampaikan ucapan," komen netizen.
Terdahulu, Ayden mencuri perhatian ramai apabila menyampaikan ucapan menyentuh hati buat ibunya, Bella, dan Syed Saddiq pada majlis resepsi pasangan itu yang berlangsung pada Ahad.
Lebih menyentuh perasaan, Ayden menyampaikan ucapan tersebut bersama adiknya, Ara, sambil meluahkan perasaannya melihat perubahan dalam kehidupan Bella selepas kehadiran Syed Saddiq.