Sekilas
- Satu video pergaduhan antara suami isteri dan isteri kedua di Bukit Bintang sebenarnya adalah eksperimen sosial yang dirancang oleh Mayumi Kasuga untuk melihat reaksi masyarakat terhadap isu poligami.
- Eksperimen ini juga bertujuan memperkenalkan podcast terbaharu Mayumi, Bad Gal Channel, yang akan membincangkan isu rumah tangga dan perspektif lelaki serta wanita.
- Mayumi menjelaskan pengalaman peribadinya sebagai bekas isteri kedua dan menegaskan bahawa eksperimen ini berjaya menarik perhatian ramai serta memberi pendedahan besar kepada pelakon yang terlibat.
Baru-baru ini, tular satu video memaparkan pergaduhan melibatkan pasangan suami isteri dan isteri kedua di Bukit Bintang, Kuala Lumpur sehingga mencetuskan pelbagai reaksi netizen.
Menjawab mengenai perkara tersebut, pempengaruh merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Mayard Integrated, Mayumi Kasuga menjelaskan bahawa insiden berkenaan sebenarnya hanyalah eksperimen sosial yang dirancang bagi melihat reaksi masyarakat terhadap isu poligami.
“Daripada awal, niat kami hanyalah untuk buat social experiment dan pada masa sama, kita nak mendidik masyarakat.
“Saya ingatkan isu itu hanya akan viral di Malaysia sahaja, namun saya tak sangka ia turut mendapat perhatian netizen di Thailand dan Indonesia.
“Ramai juga yang bertanya kepada saya, apa sebenarnya yang berlaku. Kami hanya mahu melihat reaksi masyarakat. Daripada video tersebut, saya mendapat banyak reaksi.
“Bila ramai yang berikan komen tidak elok, saya tak sangka memang ada golongan yang suka ambil tahu hal orang lain. Rasa lucu pun ada juga. Tak sangka mereka sampai ke tahap ini,” katanya kepada Gempak.
Mayumi berkata demikian ketika ditemui pada sidang media di pejabat Trendztok Studios, Kuala Lumpur, Rabu.
Berkongsi lanjut, Mayumi turut menjelaskan bahawa gimik itu juga dibuat bertujuan untuk memperkenalkan podcast terbaharu yang bakal dikendalikannya iaitu Bad Gal Channel.
Ujar Mayumi yang pernah memegang status isteri kedua, pengalaman itu juga dijadikan inspirasi dan akan dijadikan sebagai salah satu topik yang bakal diketengahkan.
“Saya pernah ada pengalaman menjadi isteri kedua satu ketika dahulu. Kini, saya sudah bercerai. Bila banyak sangat isu tentang rumah tangga di media sosial, saya jadi pelik.
“Dari situlah datangnya idea social experiment itu bila saya berbincang bersama rakan podcast. Ketika saya bergelar isteri kedua, tiada pula kami nak bergaduh.
“Alhamdulillah kehidupan kami harmoni. Kami boleh pergi bercuti bersama-sama dan saya juga boleh merancang majlis ulang tahun perkahwinan suami bersama isteri pertama.
“Anak-anak pun masih rapat. Tak kisahlah isteri pertama atau kedua, kita kena tahu kedudukan kita. Tak perlu bergaduh. Percayalah perangan Allah. Terima jodoh kita,” ujarnya.
Mengulas mengenai pelakon yang terlibat dan menerima kecaman, Mayumi menganggap eksperimen tersebut berjaya mencapai matlamat mereka.
“Sebelum perkara ini terjadi, saya sudah pun menerangkan kepada mereka, apa yang kita buat ini adalah social experiment. Kita nak lihat reaksi masyarakat.
“Jika nama mereka tercalar, jangan risau. Niat kita nak didik masyarakat. Kami bukan menjatuhkan atau aniaya orang lain.
“Pada saya, good or bad marketing, ia adalah sama. Ini adalah situasi menang-menang. Barisan pelakon mendapat pendedahan yang sangat besar,” tambahnya lagi.
Terdahulu, tular beberapa video memaparkan pergaduhan antara pasangan suami isteri yang diserang isteri kedua sewaktu sedang meluangkan masa bersama di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Video itu tular dan meraih perhatian ramai sehingga mencecah lebih 10 juta tontonan.
Dalam pada itu, Bad Gal Channel bakal mengupas isu rumah tangga dan isu semasa daripada perspektif lelaki serta wanita, termasuk hak suami, isteri dan kekeluargaan.