Sekilas
- Sharifah Mahani, ibu kepada Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq, membuat tempahan 100 kotak lempeng dan nasi lemak untuk doktor serta jururawat di Hospital Sungai Buloh.
- Tempahan itu sebagai tanda penghargaan kepada petugas hospital yang menjaga bapa Syed Saddiq, Syed Abdul Rahman Abdullah, selepas pembedahan mata beliau.
- Perkongsian ini mendapat pujian wargamaya yang mengaitkan sikap pemurah keluarga Syed Saddiq dengan keluarga tunangnya, Bella Astillah.
Ibu kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq iaitu Sharifah Mahani menjadi perhatian selepas tular perkongsian mengenai sikap pemurahnya.
Menerusi hantaran akaun Threads Lempeng Gulong by Dapur Kak Manja, Sharifah Mahani difahamkan membuat tempahan sebanyak 100 kotak lempeng dan nasi lemak untuk diberikan kepada doktor serta jururawat di Hospital Sungai Buloh.
“Memang pemurah dan baik hati ya, mama Yb Syed Saddiq ni. Pagi tadi (Khamis) mama YB order 100 kotak lempeng+nasi lemak untuk diberi pada doktor dan jururawat hospital Sungai Buloh,” kongsinya.
Menurut pemilik akaun berkenaan, tempahan tersebut dibuat sebagai tanda penghargaan kepada petugas hospital yang menjaga serta membantu bapa Syed Saddiq, Syed Abdul Rahman Abdullah atau lebih mesra disapa Abuya.
Difahamkan, Abuya baru sahaja selesai menjalani pembedahan mata di hospital berkenaan.
“Abuya baru sahaja selesai menjalani pembedahan mata. Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih, Mama Yb beri sebagai tanda terima kasih kepada doktor dan staf yang menjaga serta membantu Abuya sepanjang proses rawatan,” katanya.
Perkongsian tersebut kemudian mengundang pujian wargamaya yang menyifatkan keluarga Syed Saddiq sebagai antara keluarga yang gemar berkongsi rezeki.
Tidak kurang juga yang mengaitkan sikap pemurah tersebut dengan keluarga tunang Syed Saddiq, pelakon dan penyanyi Bella Astillah.
“Alhamdullillah… banyak betul persamaan keluarga YB dengan keluarga Bella. Kedua-dua famili ni memang suka bersedekah. Alhamdullillah moga Allah murahkan lagi rezeki kedua-dua keluarga ini. Aamiin,” kata wargamaya.
Sumber - Threads