Sekilas
- Usahawan Aqil Zulkiflee berkongsi pengalaman dikhianati rakan dalam bisnes yang turut melibatkan peniruan produk dan curi supplier.
- Aqil mendakwa pernah membantu rakan tersebut dari segi ilmu dan kewangan sebelum dikhianati dengan tindakan blok dan jual produk sama secara senyap.
- Beliau menegaskan pentingnya semak kandungan dan latar belakang pengasas sebelum beli produk kesihatan, sambil mempertahankan jenama MommyHana yang sudah lama di pasaran.
Usahawan dan pencipta kandungan, Aqil Zulkiflee menjadi perhatian netizen selepas berkongsi beberapa hantaran di Threads yang didakwa berkaitan pengalaman dikhianati oleh seorang rakan dalam dunia perniagaan.
Meskipun tidak mendedahkan identiti individu yang dimaksudkan, perkongsian Aqil mengundang pelbagai reaksi apabila beliau mendakwa pernah membantu individu berkenaan membina semula kehidupan dan perniagaan sebelum memilih untuk menjalankan bisnes dalam industri yang sama.
"Ceh buat podcast sedih sedih dari jatuh dah naik balik tapi taknak pula cerita khianat member sendiri, datang hari hari kat ofis member sampai berbulan, menangis nangis minta tolong ajar bisnes.
"Sampaikan tak tahu malu bawa semua staf untuk train dekat ofis member. Sekarang dah pandai, kau buat bisnes yang sama, tiru semua benda, termasuklah curi supplier yang sama. Mantap tikam belakang," tulisnya.
Dalam satu lagi hantaran, Aqil mendakwa dia bukan sahaja berkongsi ilmu perniagaan, malah pernah membantu individu tersebut dari segi kewangan ketika berdepan kesukaran.
"Lagi lawak, member siap bagi pinjam duit beratus ribu nak tolong kau. Member siap bagi kau produk dia lagi untuk kau jual, ambik jela jual tanpa ambil satu sen pun untung.
"Sekarang dah pandai, senyap senyap menghilang, block, lepas tu BOOM jual produk sama. Terbaik," dakwanya.
Susulan perkongsian itu, Aqil turut tampil mempertahankan jenama suplemen kanak-kanak MommyHana yang menurutnya telah lama berada di pasaran dan mempunyai rekod yang baik dalam industri.
Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu sebelum membeli sebarang produk kesihatan atau makanan tambahan.
"Kalau nak makan apa-apa supplement, benda pertama kena check ingredient. Kedua, kena check founder, kena check berapa lama dalam pasaran," tulisnya.
Menurut Aqil, pengguna bukan sahaja perlu melihat kandungan sesuatu produk, malah perlu mengambil kira latar belakang individu yang mengasaskan sesebuah jenama sebagai salah satu faktor sebelum membuat keputusan membeli.
Beliau turut mendakwa MommyHana telah berada di pasaran lebih sedekad dan kini boleh didapati di ratusan farmasi di seluruh negara. Aqil juga berkongsi beberapa maklum balas pelanggan yang mendakwa berpuas hati menggunakan produk berkenaan.
Perkongsian tersebut menerima ribuan tanda suka serta ratusan komen daripada pengguna Threads yang memberikan pelbagai reaksi.
Setakat artikel ini ditulis, Aqil tidak mendedahkan identiti individu yang dirujuk dalam perkongsiannya dan tiada sebarang kenyataan balas dikeluarkan oleh mana-mana pihak berhubung dakwaan tersebut.