Penyanyi, Rizal Rasid akui tidak dapat meluangkan banyak masa bersama bapanya, Mohammad Rasid Mohd Yassin ketika membesar kerana tuntutan kerja sebagai pramugara.
Menurut Rizal, disebabkan jadual kerja bapanya yang padat, mereka sekeluarga hanya berpeluang bertemu beberapa kali sahaja dalam seminggu sebelum bapanya kembali terbang.
“Mak saya dulu cabin crew tapi sejak saya lahir dia berhenti. Jadi ayah saya yang sambung kerja tu sampai kami semua besar, baru dia berhenti.
Dalam seminggu tu, mungkin kami jumpa ayah dua atau tiga kali saja. Lepas tu dia akan fly balik," kata Rizal kepada Gempak.
Bagaimanapun, ahli kumpulan Alpha itu percaya jarak dan perpisahan sementara itulah yang sebenarnya mengeratkan hubungan mereka sekeluarga.
Pengalaman itu menjadi lebih manis apabila bapanya sering membawa pulang makanan daripada pesawat.
“Saya rasa perjauhan tu yang mendekatkan kami sebagai sebuah keluarga. Tapi apa yang lebih manis setiap kali ayah balik kerja, dia akan bawa makanan cabin crew untuk kami makan. Kadang-kadang kami sendiri yang minta.
“Kalau ayah bawa balik aiskrim, kami memang happy gila. Sebab aiskrim ni jarang dapat, dekat flight pun selalunya business class saja ada. Bila ayah bawa aiskrim tu dari flight, rasa dia lain.Padahal sama je. Tapi mindset tu berbeza sebab kita tahu ayah sanggup simpan elok-elok, letak dry ice, pastikan tak cair semata-mata nak bagi anak-anak” kongsinya.
Tambah Rizal, perkara kecil seperti itulah yang menjadikan kenangan zaman kanak-kanaknya begitu bermakna dan membuatkan dia lebih menghargai pengorbanan ibu bapanya.
“Benda-benda kecil macam ni yang buat kami rasa istimewa sebagai anak,” ujarnya.