Sekilas
- Azhar Sulaiman menganggap perkahwinannya dengan Chempaka Emalin sebagai pencapaian paling bermakna dalam hidupnya.
- Mereka mula berkenalan ketika Chempaka datang minta tandatangan Azhar di tayangan perdana filem Abang 92 di PWTC.
- Pasangan ini berkahwin pada 23 Julai 1995 dan dikurniakan tiga cahaya mata, termasuk sepasang kembar.
Pelakon, Azhar Sulaiman menyifatkan keputusan untuk mendirikan rumah tangga bersama isterinya, Chempaka Emalin sebagai satu pencapaian paling bermakna dalam hidupnya.
Menerusi podcast Studio Sembang yang dikendalikan pelakon dan pengacara, Amelia Henderson, Azhar berkata, perkahwinannya bersama Chempaka juga telah mengubah keseluruhan perjalanan hidupnya.
“Saya rasa mengahwini Chempaka. Ia mengubah segalanya,” katanya.
Berkongsi mengenai detik perkenalannya bersama Chempaka, Azhar memaklumkan segalanya bermula ketika isterinya itu datang bagi mendapatkan tandatangannya ketika tayangan perdana filem Abang 92 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
“Selepas tayangan itu, semua datang minta autograf. Kemudian saya nampak Chempaka, dia paling menyerlah dalam kalangan kawan-kawannya.
“Dia datang minta autograf dan saya terus cakap saya nak kenal dia dengan lebih rapat,” ujarnya.
Azhar kemudiannya memaklumkan bahawa dia terus pergi ke rumah Chempaka pada keesokan harinya bagi berjumpa denvan kedua-dua ibu bapanya.
“Masa itu saya tak berniat pun nak kahwin, tetapi saya cuma nak tahu keluarga dia macam mana.
“Bagi saya, sangat penting untuk tahu latar belakang seseorang. Bila saya jumpa ibu dan adik-beradik dia, saya rasa okay,” katanya.
Untuk rekod, Azhar dan Chempaka mendirikan rumah tangga pada 23 Julai 1995 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Kasih Leia Ixora, serta pasangan kembar Kasih Iris Leona dan Andika Rees Pahamin.
Sumber: TikTok