Skip to main content

Hiburan

Menjadi Rutin Pakai Tasbih Digital, Pengalaman Tunai Haji Beri Perubahan Besar Dalam Kehidupan Afgan - “Bila Rasa Tak Tenteram…”

Afgan

Ringkasan AI

  • Penyanyi Afgan sudah terbiasa memakai tasbih digital sejak menunaikan ibadah haji tahun ini sebagai amalan harian berzikir.
  • Afgan menggunakan tasbih digital terutama ketika berasa tidak tenang atau menghadapi cabaran dalam hidup.
  • Selepas menunaikan haji, Afgan merasakan perubahan besar dalam hidupnya dengan menjadi lebih dekat dan tawakal kepada Allah.
  • Penampilan Afgan memakai tasbih digital sebelum ini mendapat pujian ramai kerana kekal istiqamah dalam amalan baiknya.
  • Afgan akan mengadakan Retrospektif Showcase pada 5 Disember bersempena pelancaran album baharunya, dengan tiket dijual mulai RM358 hingga RM1,398.

Penyanyi Afgan memberitahu dia sudah terbiasa memakai tasbih digital sudah biasa dilakukan sejak pulang menunaikan ibadah haji tahun ini dan ia juga sudah menjadi amalan hariannya. 

 

Menurut Afgan atau Afgansyah Reza, penggunaan tasbih digital menjadi rutin untuk dirinya berzikir, terutama ketika berasa tidak tenang atau menghadapi cabaran dalam kehidupan seharian.

 

"Rasanya saya sudah terbiasa sewaktu menunaikan haji sebelum ini, di sana (Makkah) saya tidak pernah meninggalkan tasbih digital itu. 

 

"Jadi sampai sekarang saya masih suka pakai. Kadang-kadang apabila saya berasa tidak tenteram atau dalam hal apa juga selalunya memang saya berzikir. 

 

"Mungkin sudah jadi kebiasaan, habit waktu saya menunaikan haji dulu," katanya kepada Gempak. 

 

Penyanyi berusia 36 tahun ini berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Retrospektif Showcase yang diadakan di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini. 

 

Menurut penyanyi lagu Kacamata itu, perubahan besar berlaku dalam hidupnya dan membuatkan dirinya lebih dekat dengan agama selepas menunaikan haji. 

 

"Saya jadi lebih tenang. Sebelum menunaikan haji saya tidak biasa begini. 

 

"Perubahan terbesar selepas haji pastinya saya lebih dekat dengan Allah, berserah dan tawakal dalam menjalani kehidupan," ujarnya. 

 

Sebelum ini, penampilan Afgan memakai tasbih digital ketika ditemu bual oleh sebuah stesen radio tempatan mencuri perhatian ramai.

 

Rata-rata peminat memuji sikap penyanyi berkenaan yang kekal istiqamah dan mengekalkan amalan baiknya selepas pulang daripada menunaikan ibadah haji pada Jun lalu.

 

Dalam perkembangan lain, Afgan bakal mengadakan Retrospektif Showcase pada 5 Disember ini bersempena dengan pelancaran album baharunya berjudul Retrospektif.

 

Tiket showcase itu mula dijual sejak 1 Oktober lalu di laman web golive-asia, dengan harga bermula RM358 hingga RM1,398.

Must-Watch Video

Advertisement