Sekilas
- Met Gala 2026 kembali meriah dengan tema Costume Art dan kod pakaian Fashion is Art yang menarik perhatian ramai selebriti dunia di karpet merah.
- Beyonce buat kemunculan pertama selepas 10 tahun dengan gaun rangka rekaan Olivier Rousteing, manakala Bad Bunny dan Heidi Klum juga tampil dengan gaya unik masing-masing.
- Lisa Blackpink dan sutradara Bollywood Karan Johar turut mencuri tumpuan dengan rekaan gaun ilusi optik dan pakaian sulaman mitologi India.
Acara Met Gala 2026 atau secara rasminya dipanggil Costume Institute Benefit kembali pada tahun ini dengan cukup meriah.
Merupakan acara pengumpulan dana tahunan yang berprestij untuk Muzium Seni Metropolitan (The Met) di New York, khususnya bagi Costume Institute, acara ini dianggap sebagai ‘malam terbesar dalam dunia fesyen’.
Maka tidak hairan apabila para selebriti terkenal dunia yang hadir untuk edisi 2026 dengan tema Costume Art dan kod pakaian Fashion is Art ‘bermati-matian’ di karpet merah menerusi penampilan tersendiri.
Paling menarik perhatian adalah penampilan perdana Beyonce selepas 10 tahun tidak hadir ke Met Gala. Tampil memperaga gaun rekaan pereka Perancis, Olivier Rousteing, pesohor itu menterjemahkan Fashion is Art menerusi hiasan motif rangka (skeleton) yang dilengkapi dengan kain tabir (cape) berbulu gergasi.
“Saya berasa sangat teruja untuk berada di sini dan ditemani anak perempuan bersama suami,” katanya kepada BBC.

Turut mencuri tumpuan adalah penyanyi fenomena, Bad Bunny yang menterjemahkan fesyen itu seni apabila tampil sebagai ‘orang tua’.

Lebih menarik, model Heidi Klum yang sering membuqt kejutan dengan fesyennya setiap kali perayaan Holleween membawa transformasi sama di Met Gala apabila berpakaian seperti salah satu patung marmar yang menghiasi dewan muzium tersebut. Tidak mahu ketinggalan, penyanyi Katy Perry tampil unik apabila memakai topeng cermin yang menutupi seluruh wajahnya.


Dan Lisa Blackpink pula punya cara tersendiri untuk menjadi tumpuan apabila muncul dengan gaun putih rekaan Robert Wun. Bukan gaun yang tipikal, ia menampilkan ilusi optik yang menarik iaitu sepasang lengan manekin kelihatan seperti memegang kain selubung putih, manakala lengan asalnya bebas untuk beraksi dan bergaya di hadapan juru gambar.

Tidak ketinggalan, dunia Bollywood diwakili oleh sutradara Karan Johar yang mencuri tumpuan dengan menyarung rekaan rakan baiknya, Manish Malhotra. Persalinan tersebut terdiri daripada jaket vintaj di bawah kain tabir yang dilukis dengan tangan serta sulaman terperinci. Menurut pasukannya, lukisan pada pakaian tersebut menggambarkan watak-watak daripada mitologi India.

Johar juga memberitahu BBC, fesyen adalah bahagian yang memainkan peranan besar dalam karya-karyanya.