Sekilas
- Mia Sara akhirnya buka mulut tentang isu dengan Puteri Balqis selepas beberapa hari mendiamkan diri.
- Dia mengaku salah tulis komen yang menimbulkan persepsi buruk dan ingin mohon maaf tapi bapanya nasihatkan untuk bertenang dan berdiam diri.
- Isu jadi lebih besar bila Puteri Balqis pula buat video minta maaf walaupun kesilapan datang dari Mia sendiri.
Setelah beberapa hari mendiamkan diri, akhirnya pelakon Mia Sara tampil membuka mulut berhubung isu kemelut antara dia dengan aktres Puteri Balqis yang menjadi topik hangat di media sosial.
Mia menerusi temu bual bersama pengacara Datuk Aznil Hj Nawawi di podcast Kita Kita Aje mengakui kekhilafannya menulis komen yang mengundang persepsi buruk terhadap Puteri Balqis.
Kesilapannya itu membuatkan dirinya menjadi panik dan ingin memohon maaf secara terbuka namun bapanya memintanya untuk bertenang dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Saya tak salahkan dia (Puteri Balqis) sebab bila saya baca balik cara saya tulis pun memang sangat mengundang. Ketika itu, isu tersebut sangat besar dan saya tak tahu nak buat apa.
“Saya jadi panik dan saya cakap la macam boleh tak saya nak buat permohonan maaf secara terbuka. Papa cakap ‘jangan cakap apa-apa, awak tahu apa niat awak, orang putar belit ayat awak, awak tak perlu pertahankan diri’.
“Orang akan gunakan ayat awak untuk putar belit lagi dan ia akan menjadi lebih besar. Jadi, lebih baik berdiam diri,” kongsinya.
Bagaimanapun, isu tersebut menjadi lebih besar apabila Puteri Balqis yang membuat video permohonan maaf meskipun ianya punca daripada kesilapan Mia sendiri.
“Kemudian keesokkan harinya, dia minta maaf kepada saya… Puteri Balqis. Dia buat satu video membuat permohonan maaf kepada saya.
“Saya rasa lebih teruk sebab saya yang tersalah, saya yang cakap saya,” katanya lagi.
Video temu bual Mia dengan Aznil atau mesra disapa sebagai Pak Nil itu dimuat naik menerusi Instagram pengacara tersebut.