Skip to main content

Hollywood

Michelle Yeoh Bakal Terima Penghormatan Hollywood Walk of Fame!

Astro Gempak yeoh walkoffame

Sekilas

  • Michelle Yeoh bakal menerima bintang di Hollywood Walk of Fame pada 18 Februari, menjadikannya penerima ke-2,836 di laluan legenda tersebut.
  • Yeoh terkenal sebagai wanita Asia pertama memenangi Oscar Pelakon Wanita Terbaik dan kini terlibat dalam projek besar seperti Avatar 4, Avatar 5, dan siri Blade Runner 2099.
  • Walaupun berjaya di peringkat antarabangsa, Yeoh terus menghargai tanah air dengan membintangi filem pendek Sandiwara yang akan ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Berlin.

Nama Michelle Yeoh sekali lagi mencipta sejarah apabila bakal menerima pengiktirafan tertinggi industri hiburan antarabangsa menerusi bintang di Hollywood Walk of Fame.

Penghormatan tersebut menjadi satu lagi detik penting dalam perjalanan seni figura kelahiran Ipoh, Perak itu, selepas mencatat sejarah sebagai wanita Asia pertama memenangi Oscar Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Akademi menerusi filem Everything Everywhere All at Once.

Majlis rasmi penganugerahan dijadual berlangsung di bangunan ikonik Grauman’s Chinese Theatre, Los Angeles pada 18 Februari ini. Yeoh akan menjadi penerima ke 2,836 bintang di laluan legenda tersebut.

Pengumuman dibuat oleh The Hollywood Chamber of Commerce yang memaklumkan acara akan bermula pada jam 11.30 pagi waktu tempatan. Bagi peminat di Malaysia, detik bersejarah itu boleh disaksikan pada 19 Februari jam 3.30 pagi.

Sebenarnya, nama Yeoh sudah diumumkan sebagai antara penerima bintang Walk of Fame sejak Jun 2023, sebaris dengan tokoh industri seperti Presiden Marvel Studios, Kevin Feige serta mendiang pelakon Carl Weathers.

Sejak kemenangan Oscarnya, momentum karier aktres berusia 63 tahun itu terus memuncak. Yeoh kini terlibat dalam beberapa produksi berskala besar termasuk Wicked: For Good serta bakal muncul dalam francais epik arahan James Cameron iaitu Avatar 4 dan Avatar 5.

Selain filem layar lebar, Yeoh turut membintangi siri Blade Runner 2099 terbitan Prime Video dan bekerjasama dengan pengarah tersohor Sean Baker dalam projek yang berlatarbelakangkan Malaysia.

Walaupun namanya terus mekar di persada antarabangsa, Yeoh tidak pernah melupakan tanah air. Beliau terlibat dalam filem pendek berjudul Sandiwara yang dirakam sepenuhnya menggunakan iPhone di sebuah pasar malam di Malaysia.

Menariknya, Yeoh mempamerkan versatiliti luar biasa dengan membawakan lima watak berbeza dalam naskhah tersebut. Filem itu dijadualkan ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Berlin pada 13 Februari, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai ikon seni bertaraf dunia.

Perjalanan gemilang Yeoh bermula dalam industri filem aksi Hong Kong pada era 1990-an sebelum berjaya menembusi Hollywood menerusi karya blockbuster seperti Crazy Rich Asians, yang mencatat sejarah sebagai komedi romantik dengan kutipan tertinggi di Amerika Syarikat dalam tempoh lebih sedekad.

Beliau turut dinamakan sebagai Ikon Tahunan Majalah Time pada 2022 dan sejak 2016 dilantik sebagai Duta Muhibah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, memperjuangkan kesedaran alam sekitar dan pembangunan mampan.

Dengan setiap pencapaian, Michelle Yeoh bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia, malah terus membuktikan bahawa bakat dan dedikasi mampu merentasi sempadan dunia.

Anda mungkin berminat dengan

GRAPHIC Super PUMA Pocket T-Shirt Men in Dusky Gray, L

GRAPHIC Super PUMA Pocket T-Shirt Men in Dusky Gray, L

T7 Baby T-Shirt Youth in Poised Pink by PUMA, 15-16Y

T7 Baby T-Shirt Youth in Poised Pink by PUMA, 15-16Y

adidas Adicolor Trefoil T-Shirt - Brown

adidas Adicolor Trefoil T-Shirt - Brown

OHNII CNY Exclusive: Oversized Horse Front Haughty Bear Cotton Jersey Tshirt

OHNII CNY Exclusive: Oversized Horse Front Haughty Bear Cotton Jersey Tshirt

Sea Makeup Stayput Setting Spray 100ml

Sea Makeup Stayput Setting Spray 100ml

adidas Real Madrid Terrace Icons T-Shirt

adidas Real Madrid Terrace Icons T-Shirt

Must-Watch Video

Advertisement