Jejaka yang didakwa mempunyai hubungan istimewa dengan pelakon, Nora Danish iaitu Mickey Ayo mencuri perhatian apabila memuat naik foto bersama aktres itu buat pertama kalinya.
Menerusi hantaran di Instagram Story, Mickey berkongsi swafoto yang memaparkan dirinya di hadapan manakala Nora yang berada di belakang membuat gaya ‘peace’ sambil tersenyum dengan kaca mata hitam.
Advertisement
Lebih menarik, hantaran itu turut menggunakan muzik latar lagu Surat Hati nyanyian Devano, sekali gus menguatkan lagi spekulasi mengenai hubungan mereka.
Terdahulu, Nora mencetuskan tanda tanya ramai selepas berkongsi foto seorang lelaki berkaca mata dan memakai kopiah di laman sosial.
Mickey sebelum ini juga pernah tampil dalam sebuah video promosi jenama sampin apabila menyatakan masih percaya kepada cinta meskipun pernah gagal dalam dua perkahwinan.
Spekulasi semakin hangat selepas Mickey dilihat mengenakan baju Melayu putih lengkap seperti seorang pengantin, selain tersebarnya sekeping kad undangan bertarikh 8 September 2025 dengan tertera huruf M dan N.
Ramai netizen mendakwa huruf N itu merujuk kepada nama Nora, sekali gus menimbulkan dakwaan kononnya pelakon itu bakal mendirikan rumah tangga.
Namun, Nora Danish tampil menafikan perkara berkenaan dan menjelaskan bahawa hantaran tersebut hanyalah sebahagian daripada kempen pemasaran produk, bukannya persiapan perkahwinannya.