Sekilas
- Mila Jirin mengakui terdapat tunggakan caruman KWSP di syarikatnya, Bizmilla Wedding Center, namun sedang menyelesaikannya secara berkala.
- Dia menegaskan syarikat mengutamakan kebajikan pekerja dengan memastikan gaji dan manfaat mereka dibayar walaupun menghadapi cabaran ekonomi.
- Mila tidak akan mengambil tindakan terhadap pihak yang menokok tambah isu tersebut dan lebih fokus menyelesaikan masalah demi kebaikan pekerjanya.
Penyanyi, Mila Jirin tampil menjawab dakwaan tular mengatakan berlakunya tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melibatkan syarikatnya, Bizmilla Wedding Center.
Menurut Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin, 39, dia tidak menafikan wujudnya nilai tokok tambah terhadap dakwaan tersebut.
“Ada benda yang betul, ada yang tidak, ada benda yang sudah diselesaikan dan kita juga sedang buat pembayaran secara berkala.
“Di Bizmilla kita ada pekerja yang sangat ramai. Bila ada yang bekerja, berhenti, ada yang tokok tambah itu kita tak dapat nak kawal.
“Jadi apa yang saya boleh katakan, saya di bahagian pengurusan apa yang kita buat adalah kita nak pastikan pasukan kita ini semuanya ada gaji,” katanya.
Tambah Mila lagi, sebagai majikan yang mementingkan kebajikan pekerja, pihak syarikat juga sedang berusaha menyelesaikan isu berkenaan secara berperingkat.
“Berniaga ada cabaran tersendiri, sekarang ini ekonomi tak menentu, di Bizmillla sahaja bayaran gaji sudah mencecah RM600,000 sebulan.
“Sudah tentu kita perlu fikir bagaimana mahu menguruskan semua kos berkenaan dan paling penting, yang bercakap di luar sana itu pun saya tak tahu siapa.
“Pada saya itu hak mereka dan saya tak pernah ada niat mahu membalas balik, sebab apabila kita menjadi majikan, kita ambil pekerja dan mereka dilindungi dengan akta.
“Jangan risau, apa perkara yang kita kena uruskan kita uruskan sebab di Bizmillah apa yang kita utamakan adalah gaji dan benefit mereka. Segala apa yang tertangguh itu kami akan uruskan,” jelasnya.
Bagaimanapun, kata Mila, dia tidak akan mengambil tindakan terhadap mereka yang menokok tambah mengenai isu berkenaan sebaliknya mahu memberikan fokus menyelesaikan hal tersebut demi kebajikan pekerjanya.
“Pada saya, tentang ramai yang menokok tambah mengenai hal tersebut, itu saya tak nak komen apa-apa, cuma pada saya, saya buat bahagian saya.
“Saya bukanlah majikan dari syurga, tetapi saya sangat mengutamakan kebajikan mereka dan kita kerja sama-sama, cari rezeki bersama.
“Selalunya bila ada isu-isu begini keluar, mungkin ada yang tidak berpuas hati sebab diberhentikan selepas menerima surat amaran, kita tidak tahu.
“Tapi tak mengapa, itu adalah keputusan mereka. Apa yanh saya buat, kita ikut prosedur dan segala polisi yang sepatutnya,” tegasnya.