Sekilas
- My Chemical Romance akan mengadakan konsert dua malam berturut-turut pada 19 dan 20 November di Stadium Nasional Bukit Jalil, diikuti oleh Evanescence pada 28 November di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
- Konsert ini menjadi peluang untuk peminat mengimbau kembali kenangan era 2000-an dengan lagu-lagu popular seperti Welcome To The Black Parade dan Bring Me To Life.
- Jualan tiket tambahan akan dibuka pada 25 Jun untuk Evanescence dan 3 Julai untuk My Chemical Romance, dengan maklumat lanjut di laman web rasmi penganjur.
Bulan November ini bakal menjadi bulan yang cukup istimewa buat peminat muzik rock alternatif, gothic dan emo apabila dua kumpulan ikonik dunia, My Chemical Romance (MCR) dan Evanescence, dijadualkan mengadakan konsert di Kuala Lumpur.
Dibawakan oleh Hello Universe, kehadiran dua nama besar yang pernah menjadi runut bunyi kehidupan ramai peminat pada era 2000-an itu dianggap sebagai antara momen paling dinantikan tahun ini.
My Chemical Romance bakal menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil selama dua malam berturut-turut pada 19 dan 20 November, sebelum Evanescence mengambil alih pentas Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada 28 November.
Bagi ramai peminat, ia bukan sekadar konsert, sebaliknya peluang mengimbau kembali kenangan zaman remaja yang pernah ditemani lagu-lagu seperti Welcome To The Black Parade, Helena, Bring Me To Life dan My Immortal.
Keterujaan peminat turut jelas kelihatan di media sosial apabila ramai meluahkan rasa tidak percaya melihat kedua-dua kumpulan kegemaran mereka bakal beraksi dalam bulan yang sama.
"My Chemical Romance dengan Evanescence datang KL dalam bulan yang sama? Siapa kata benda ni takkan jadi? Gila, ni betul-betul mimpi jadi kenyataan!" tulis seorang pengguna Threads.
Seorang lagi netizen pula mengakui kehadiran kedua-dua kumpulan tersebut mengembalikan nostalgia zaman persekolahannya.
"Lagu-lagu nilah yang kita dengar sampai menangis dekat bucu katil masa zaman sekolah dulu. Bila tiket dibuka semula macam ni, memang tak boleh lepaskan peluang. Anggap sahaja ini healing untuk diri kita yang dah dewasa," tulisnya.
Dalam perkembangan sama, penganjur turut mengumumkan jualan tiket tambahan dalam jumlah terhad bagi memberi peluang kepada peminat yang terlepas mendapatkan tiket sebelum ini.
Bagi peminat Evanescence, jualan tiket akan dibuka bermula 25 Jun jam 10 pagi, manakala tiket tambahan untuk My Chemical Romance pula mula dijual pada 3 Julai jam 11 pagi.
Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web rasmi penganjur.