Sekilas
- Misha Omar mengenang Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohamad Ali sebagai insan yang penuh kelembutan, kasih sayang dan perikemanusiaan selepas pengalaman membawakan wataknya dalam muzikal pada 2011.
- Misha berkongsi bahawa Allahyarhamah memberi nasihat berharga tentang perhubungan dan rumah tangga, serta melayan dirinya dengan mesra tanpa jurang walaupun kedudukan tinggi.
- Pemergian Allahyarhamah dirasai sebagai kehilangan besar, terutama bagi mereka yang membesar dalam era kepimpinan Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Hasmah, yang dilihat seperti ibu bapa sendiri.
Penyanyi Misha Omar menyifatkan Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohamad Ali sebagai seorang insan yang penuh dengan kelembutan, kasih sayang dan perikemanusian.
Misha berkata, pengalaman membawakan watak Tun Dr Hasmah ketika remaja menerusi pementasan teater Muzikal Tun Mahathir II di Istana Budaya pada 2011 memberi peluang kepadanya mengenali sisi peribadi Allahyarhamah dengan lebih dekat.
Menurut Misha, dia pernah bertemu dan menemu bual Allahyarhamah secara peribadi bagi mendapatkan gambaran mengenai kehidupan serta keperibadiannya ketika masih muda.
“Tun seorang yang sangat baik, seperti seorang ‘angel’. Cara beliau melayan saya yang ketika itu masih muda dan baru dalam industri begitu baik. Tidak ada jurang yang besar, sedangkan kedudukan beliau sangat tinggi.
“Beliau ialah First Lady, tetapi ketika saya berjumpa dengannya, suasananya sangat selesa dan tenang. Beliau tidak pernah membuatkan saya berasa kekok atau takut,” katanya.
Misha berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Temu Bual Eksklusif Showcase Misha Omar Aku & Lelaki, Selasa.
Tambah Misha, pertemuan tersebut meninggalkan kesan mendalam kerana Allahyarhamah tidak pernah mewujudkan jurang antara dirinya sebagai tokoh negara dengan seorang anak seni yang jauh lebih muda.
“Ketika saya bertemu beliau, saya baru sahaja menjadi penyanyi dan pelakon. Tetapi beliau tidak menciptakan jurang itu sehingga membuatkan kita berasa kekok atau takut.
“Saya sangat berbangga kerana pernah mempunyai detik seperti itu bersama beliau. Bagi saya, beliau penuh dengan kelembutan, penuh kasih sayang dan penuh perikemanusiaan,” katanya.
Dalam pada itu, Misha turut mengimbau nasihat yang pernah diberikan Allahyarhamah kepadanya mengenai soal perhubungan dan rumah tangga.
“Pada ketika itu, saya sebenarnya sedang mencari nasihat tentang soal perhubungan. Allahyarhamah pernah berpesan kepada saya, ‘Walau siapa pun kamu, kamu perlu menghormati suami kamu.’
“Beliau juga berpesan supaya kita berjalan di belakangnya dan di sampingnya. Begitulah, sesederhana itu.
“Nasihat itu sangat bermakna kepada saya dan menjadi antara perkara yang saya ingat daripada pertemuan kami,” katanya.
Misha turut mengakui berasa sedih dengan pemergian Allahyarhamah, malah menyifatkan pemergian tersebut sebagai antara hari yang panjang dan menyedihkan buat mereka yang membesar dalam era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Hasmah.
“Saya rasa kita memang umpama anak didik mereka. Kita berada di bawah naungan mereka dahulu, lama. Kita membesar dalam era itu.
“Kita melihat Tun Mahathir dan Tun Dr Hasmah bukan semata-mata sebagai pemimpin. Kita melihat mereka seperti seorang ayah dan ibu.
“Saya rasa semalam merupakan antara hari yang paling panjang dalam siri-siri hari yang menyedihkan dalam hidup saya.
“Jadi, saya berasa sangat berbesar hati kerana pernah mempunyai pengalaman dan detik peribadi bersama beliau. Saya juga masih ingat karakter mereka berdua yang tertib dan suka bergurau,” katanya.
Mengimbau kembali kenangan ketika pementasan muzikal tersebut, Misha berkata dia pernah meminta untuk bergambar bersama Tun Dr Mahathir.
Menurut Misha, gurauan Tun Dr Mahathir ketika itu turut membuatkan suasana menjadi lebih santai dan menghilangkan rasa kekok.
“Ketika saya bertemu Tun semasa persembahan muzikal itu, saya minta mahu bergambar dengannya. Arwah cakap, ‘boleh, RM5’.
“Betapa mereka memang suka bergurau dan tidak mahu kita berasa kekok. Mereka tidak mahu kita merasakan wujudnya jurang antara rakyat dan pembesar,” katanya.