Penyanyi dan pelakon, Naqiu mengakui adalah menjadi satu cabaran untuknya menyertai program lawak, Muzikal Lawak Superstar Musim ke-5 (MLS5).
Menurut Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Mohd Najib dia juga berasa sedikit gementar kerana bidang lawak sangat berbeza jika hendak dibandingkan dengan kerjayanya sebagai seorang penyanyi.
“Pertandingan MLS merupakan satu perkara yang terbalik daripada nyanyian.
“Bila di atas pentas barulah keluarlah ‘magic’ dan lawak.
“Saya satu kumpulan dengan Fad dan Sharif yang satu Malaysia tahu mereka ini kelakar orangnya. Tapi katalah mereka berdua ini kelakar sebab saya tak kelakar macam mana?
“Sebab itu setiap kali buat persembahan atas pentas, saya letak satu benda iaitu saya kena pastikan saya kelakar,” kongsi Naqiu.
Advertisement
Walau bagaimanapun, bekas vokalis kumpulan Boboy ini bersyukur kerana mempunyai ahli kumpulan yang banyak membantu seperti Fad Bocey dan Sharif Zero.
“Bagusnya dua sahabat saya ini (Fad dan Sharif), mereka tak akan biarkan saya kelihatan seperti orang baharu dalam bidang ini.
“Kalau mereka rasa terlalu banyak lawak jenaka yang mereka keluarkan, mereka akan beri juga kepada saya.
“Mereka akan cakap, ‘Eh macam banyak je lawak dari kitaorang, part ini kau ambil juga’.
“Saya sangat bersyukur sebab mereka berdua pilih saya untuk jadi ahli kumpulan mereka.”
Sekadar info, Naqiu, Fad dan Sharif membentuk kumpulan Roda dalam program MLS5 yang kini memasuki minggu kelima.
Selepas empat minggu beraksi, Naqiu mendapat pujian kerana percubaannya dalam bidang lawak dikategorikan sebagai menjadi oleh rata-rata peminat.
Sumber: Dol’s Podcast