Ringkasan AI
- Pelakon Zul Huzaimy masih dalam kesedihan selepas kehilangan ibu tercinta pada 4 November 2025.
- Zul bersyukur kerana berpeluang menjaga ibunya sehingga nafas terakhir dan berkongsi momen akhir bersama dengan penuh kasih sayang.
- Zul dan 12 adik-beradiknya sempat berkumpul dan membacakan surah Yassin untuk ibu mereka sebelum pemergian.
- Zul juga menguruskan jenazah ibunya sendiri, termasuk mengimamkan solat jenazah dan menurunkan jasad ke liang lahad.
Pelakon, Zul Huzaimy akui masih lagi diselubungi kesedihan dan sedang cuba menyesuaikan diri selepas kehilangan ibu tercinta baru-baru ini.
Menurut Zul, meskipun hatinya masih berat menerima kenyataan, namun dia reda dengan pemergian insan yang paling disayangi dan bersyukur kerana diberi peluang menjaga arwah ibunya sehingga ke hembusan nafas terakhir.
“Saya ada satu momen yang mana saya dengan arwah ayah saya tak sempat, sebab ketika itu saya berada di belanda holland, saya balik pun arwah dah kebumi jadi saya tak sempat.
“Jadi saya nekad tak kira apa sekalipun ibu saya ini saya nak momen akhir bersama dengan dia. Dari dia sakit, dari saya dapat bersembang dengan dia, jaga dia siang malam di hospital,” kongsinya.
Zul berkata demikian ketika ditemui Gempak selepas usai program Muzikal Lawak Suparstar 5 bagi minggu kelima bertempat di Royal Theater, Shah Alam pada Sabtu.
Tambah Zul lagi, mereka 12 beradik juga sempat berkumpul dan membacakan Yassin buat kali terakhir untuk ibu mereka sebelum menghembuskan nafas terakhir.
“Paling bermakna bila saya dapat hadiahkan mak bacaan surah Yassin yang paling sedap saya baca, cukup dengan tarannumnya.
“Kami adik-beradik pun tak ramai hanya 12 orang. Kami semua sempat berkumpul dan baca Yassin yang paling terbaik untuk mak.
“Habis sahaja baca Yassin, ajar dia mengucap dan akhirnya mak pun pergi dengan tenang,” ujarnya menahan sebak.
Paling sebak apabila Zul mengatakan dia telah diberi kekuatan untuk menguruskan sendiri jenazah ibunya, termasuk mengimamkan solat jenazah dan menurunkan jasad ibunya ke liang lahad.
“Saya dapat uruskan jenazah mak. Saya kafankan dia, imamkan mak solat jenazah dan saya berada di dalam liang lahat untuk letakkan mak dengan penuh hormat.
“Saya doakan mak ditempatkan bersama sama dengan orang bertaqwa. Insya-Allah. Itu momen yang saya tak akan dapat lupakan sampai bila-bila,” ujarnya.
Sabtu lalu, ketika bersiaran dalam program Muzikal Lawak Superstar, pengacara, Datuk AC Mizal mengumumkan kepada penonton bahawa ibu Zul Huzaimy dikejarkan ke hospital selepas berlaku kecemasan.
AC Mizal turut memohon agar semua pihak mendoakan kesembuhan ibu pelakon itu sambil memuji Zul Huzaimy atas komitmen bertanding bersama anggotak kumpulan Jozon iaitu Joey dan Norreen dalam program itu.
Ibu Zul, Azmi Ibrahim kemudiannya dilaporkan meninggal dunia pada 4 November 2025 akibat komplikasi buah pinggang.