Sekilas
- Ayden, anak sulung Bella Astillah, memberikan ucapan penuh sayu dan doa pada majlis resepsi perkahwinan Bella dan Syed Saddiq.
- Ayden menghargai pengorbanan Bella sebagai ibu dan berharap perkahwinan mereka diberkati serta keluarga kekal bahagia.
- Syed Saddiq dan Bella selamat disatukan sebagai suami isteri pada 10 Oktober lalu di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.
Momen istimewa pada majlis resepsi perkahwinan Bella Astillah dan Syed Saddiq yang berlangsung pada Ahad bukan sahaja menyaksikan kebahagiaan pasangan itu, malah ucapan anak sulung Bella iaitu Ayden, turut mencuri perhatian.
Ayden ditemani adiknya, Ara tampil memberikan kata-kata menyentuh hati buat Bella dan Saddiq.
Menerusi ucapan tersebut, Ayden meluahkan rasa sayang terhadap Bella yang disifatkan sebagai seorang ibu yang sentiasa menjaga mereka berdua biarpun terpaksa melakukan pelbagai pengorbanan.
“Mommy, saya cuma nak Mommy tahu yang saya sangat-sangat sayangkan Mommy. Mommy sentiasa menjaga kami, walaupun Mommy terpaksa melakukan banyak pengorbanan,” ujarnya.
Lebih menyentuh hati, Ayden turut menitipkan doa agar perkahwinan Bella dan Syed Saddiq sentiasa diberkati Allah SWT, selain berharap keluarga mereka terus dilindungi dan kekal bahagia bersama.
“Semoga Allah memberkati perkahwinan Mommy dan Daddy, melindungi keluarga kita, dan sentiasa mendekatkan hati kita antara satu sama lain buat selamanya. Mommy dan Daddy, saya sangat sayangkan kamu berdua,” katanya.
Terdahulu, Syed Saddiq dan Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, selamat disatukan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz pada 10 Oktober lalu di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.
