Sekilas
- Motosikal Batpod dari filem The Dark Knight (2008) akan dilelong dengan harga anggaran sehingga £900,000 (RM4.88 juta) oleh Propstore di London pada Disember 2026.
- Selain Batpod, sut Batman yang dipakai Christian Bale dalam Batman Begins juga ditawarkan dalam lelongan dengan harga antara £125,000 hingga £250,000 (RM678,000 hingga RM1.36 juta).
- Barangan lain yang turut dilelong termasuk kostum Indiana Jones dari koleksi peribadi lagenda lagak ngeri Vic Armstrong serta barangan dari siri Game of Thrones, Superman III dan Conan the Barbarian.
Sebuah motosikal ikonik yang digunakan dalam filem adiwira arahan Christopher Nolan, The Dark Knight (2008), dijangka mencuri perhatian pengumpul barangan filem apabila ditawarkan pada harga lelongan sehingga £900,000 (sekitar RM4.88 juta).
Motosikal dikenali sebagai Batpod itu merupakan antara koleksi eksklusif yang bakal dilelong menerusi Propstore, sebuah syarikat lelongan barangan hiburan yang berpangkalan di Hertfordshire, United Kingdom.
Lelongan berkenaan dijadual berlangsung secara dalam talian dan secara fizikal di Akademi Seni Filem dan Televisyen British (BAFTA), London, dari 4 hingga 6 Disember 2026.
Batpod yang pernah muncul dalam babak kejar-mengejar mendebarkan membabitkan watak Batman lakonan Christian Bale dan Joker yang dibawakan mendiang Heath Ledger itu dianggarkan bernilai antara £450,000 hingga £900,000 (sekitar RM2.44 juta hingga RM4.88 juta), lapor BBC.
Kenderaan berkenaan bukan sahaja digunakan dalam The Dark Knight, malah turut muncul dalam filem sekuelnya, The Dark Knight Rises (2012).
Untuk rekod, The Dark Knight menjalani penggambaran di beberapa lokasi termasuk Chicago, Amerika Syarikat dan Hong Kong, selain menggunakan set penggambaran dalaman berskala besar yang dibina di hangar kapal udara Cardington, Bedfordshire.
Selain Batpod, sut Batman lengkap yang pernah dipakai Christian Bale dalam filem pertama trilogi berkenaan, Batman Begins, turut ditawarkan dalam lelongan sama dengan anggaran harga antara £125,000 hingga £250,000 (kira-kira RM678,000 hingga RM1.36 juta).
Peminat francais Indiana Jones juga berpeluang mendapatkan beberapa barangan kostum ikonik watak berkenaan dalam filem Indiana Jones and the Temple of Doom, termasuk topi fedora yang sinonim dengan pengembara tersebut.
Barangan berkenaan berasal daripada koleksi peribadi lagenda pelakon lagak ngeri, Vic Armstrong, yang pernah menjadi pelakon pengganti kepada Harrison Ford dalam tiga filem pertama francais Indiana Jones.
Ketiga-tiga filem itu turut menjalani penggambaran di Elstree Studios, Hertfordshire.
Antara koleksi lain yang turut ditawarkan termasuk barangan daripada siri popular Game of Thrones, filem Superman III dan Conan the Barbarian.
Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Propstore, Stephen Lane menyifatkan Batpod sebagai satu pencapaian luar biasa dalam aspek pembikinan filem dan kejuruteraan.
Beliau turut menyifatkan peluang menghimpunkan topi fedora, kemeja dan cemeti milik Indiana Jones dalam satu katalog lelongan sebagai sesuatu yang cukup istimewa.
Menurutnya, barangan yang berasal daripada koleksi peribadi Vic Armstrong itu turut membawa kisah tersendiri mengenai sumbangan dan kerja lagak ngeri luar biasa di sebalik filem pengembaraan berkenaan.