Gabungan kisah legenda, keindahan muzik orkestra dan sentuhan pementasan teater bakal menghidupkan semula magis budaya tempatan menerusi konsert terbaharu Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) bertajuk ‘Simfoni Tujuh Watikah’ atau Symphony of the Seven Scrolls.
Bakal berlangsung pada Sabtu, 18 Oktober 2025 jam 2.30 petang di Dewan Filharmonik PETRONAS, konsert istimewa ini dirangka sebagai persembahan untuk seisi keluarga. Ia bukan sekadar tontonan, tetapi satu pengalaman muzik dan penceritaan yang membawa penonton menjelajah antara dunia mitos dan keindahan klasik moden.
Advertisement
Mengambil inspirasi daripada kisah legenda Melayu, konsert ini menampilkan pelakon berbakat besar Nadia Aqilah sebagai pencerita yang membawa watak Puteri Gunung Ledang. Dengan suara dan ekspresi dramatiknya, Nadia akan memimpin penonton menelusuri tujuh babak penceritaan yang disulami muzik simfoni megah.
Lebih menarik, pementasan ini diketuai oleh koreografer dan pengarah tersohor Pat Ibrahim sebagai Pengarah Kreatif, manakala Gerard Salonga bertindak selaku Konduktor Residen MPO yang bakal menghidupkan setiap detik dengan kehebatan orkestra penuh emosi.
Antara karya agung yang bakal dipersembahkan termasuk Symphony No.1 (Mahler), Scheherazade (Rimsky-Korsakov), Morning Mood (Grieg), Romeo & Juliet Suite (Prokofiev), Night on Bald Mountain (Mussorgsky), Nocturnes (Debussy) dan Firebird: Finale (Stravinsky).
Namun, keunikan sebenar konsert ini terserlah apabila muzik klasik dunia digabungkan dengan gubahan baharu lagu-lagu rakyat Malaysia seperti Chan Mali Chan, Jong Jong Inai dan Rasa Sayang, di samping lagu patriotik ikonik Tanah Pusaka.
Gabungan ini mencipta perjalanan muzik yang bukan sahaja indah didengar, tetapi juga menghubungkan warisan tradisi dan semangat kebangsaan dengan dunia orkestra antarabangsa.
Tari, Visual dan Sentuhan Magis
Selain muzik dan naratif, persembahan ini turut diperkaya dengan gerak tari oleh Pewaris Seni Anak Tari dan Precision Movement Dance Group. Setiap segmen akan dihidupkan melalui visual yang memukau, gerakan yang puitis dan rentak yang menggambarkan keindahan kisah cinta, perjuangan serta semangat manusia.
MPO turut menggalakkan penyertaan pelajar dengan menawarkan pakej lawatan sekolah pada harga istimewa antara 10 hingga 20 peratus, bagi memupuk minat terhadap seni muzik dan budaya di kalangan generasi muda.
Menurut kenyataan MPO, konsert ini menjadi sebahagian daripada misi berterusan untuk mendekatkan muzik klasik kepada masyarakat serta melahirkan rasa cinta terhadap keindahan seni persembahan.
Melalui inisiatif komuniti dan sumbangan orang ramai di laman mpo.com.my/donate, MPO terus berusaha memperkasakan bakat tempatan serta memastikan muzik orkestra kekal relevan dan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
‘Simfoni Tujuh Watikah’ bukan sekadar konsert, tetapi satu perayaan budaya yang memadukan legenda Melayu, seni tari, dan keindahan muzik dunia. Ia menjanjikan pengalaman magis yang sesuai untuk keluarga, pencinta seni dan mereka yang ingin merasai sendiri kehebatan muzik hidup yang menyentuh jiwa.
Tiket boleh didapati sekarang di www.mpo.com.my
atau dengan menghubungi Box Office di talian 03-23317007.