Sekilas
- Akmal Asyraf anggap komen netizen tentang wajahnya yang kelihatan lebih berusia dalam drama Kudrat 1968: High Council sebagai gurauan mesra.
- Penampilan watak Piji dibuat berdasarkan kajian realiti kehidupan dan wajah masyarakat pada tahun 1968, termasuk solekan yang sesuai dengan era tersebut.
- Akmal tidak ambil hati dengan komen tersebut dan melihatnya sebagai teguran positif serta bahan gurauan yang boleh diterima.
Pelakon Akmal Asyraf menganggap komen netizen yang menyifatkan wajahnya kelihatan agak berusia menerusi drama bersiri Kudrat 1968: High Council sebagai gurauan semata-mata.
Akmal yang memegang watak Piji berkata, pemilihan pelakon serta penampilan karakter dalam naskhah tersebut dibuat berdasarkan kajian mengenai kehidupan dan wajah masyarakat pada era 1968.
“Pertama sekali, kami dipilih mengikut apa yang pihak produksi dah kaji dan selidik, termasuk bagaimana wajah orang zaman dahulu.
“Saya rasa orang dahulu, lagi-lagi orang yang susah dan terpaksa bekerja keras, mereka nampak lebih matang dari umur sepatutnya. Itu pun realiti.
“Kalau netizen berpijak di bumi yang nyata, netizen akan jumpa orang-orang yang seperti Piji pada umur belasan tahun. Tapi untuk saya, Akmal Asyraf, belum lagi 40 tahun.
“Tapi solekan dan wajah yang dipersembahkan untuk Piji itu disampaikan untuk tahun 1968 secara spesifik. Saya rasa berjayalah kalau itu memang realiti,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Akmal berkata dia tidak mengambil hati dengan komen yang ditinggalkan netizen, malah menganggapnya sebagai friendly banter atau gurauan mesra.
“Saya ambil itu semua sekadar gurauan. Saya ambil itu sebagai komen positif, friendly banter (gurauan mesra).
“Tapi kalau betul mereka nak friendly banter, saya memang seorang yang dahsyat dalam friendly banter. Saya pun netizen, saya ni bahan orang juga.
“Jaga-jaga, siapa yang meminta di Threads itu, jaga-jaga. Saya bakal datang,” katanya secara berseloroh.
Menurut Akmal, dia tidak menyimpan perasaan terhadap komen tersebut dan melihatnya sebagai satu bentuk teguran yang boleh diterima secara positif.
“Saya tak simpan dalam hati. Saya ambil itu sebagai gurauan dan somehow macam teguran,” katanya lagi.