Sekilas
- Datuk Seri Mukhriz Mahathir memaklumkan ibunya, Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohamad Ali, dimasukkan ke hospital kerana masalah kesihatan sebelum diserang serangan jantung di IJN.
- Allahyarham dilaporkan meninggal dunia pada usia 100 tahun selepas usaha CPR dihentikan pada jam 9.30 pagi Isnin, dengan keluarga sudah bersedia menerima pemergiannya.
- Keluarga masih menunggu laporan rasmi daripada Institut Jantung Negara mengenai punca kematian tokoh wanita yang terkenal dalam bidang perubatan dan khidmat masyarakat ini.
Ahli politik yang juga anak kepada Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohamad Ali iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir memaklumkan bahawa ibunda tercintanya dimasukkan ke hospital kerana mempunyai masalah kesihatan.
Kongsi Mukhriz, emosi Allahyarhamah ketika itu sangat baik dan ceria namun memaklumkan bahawa sudah bersedia untuk ‘meninggalkan’ keluarga tercinta.
“Waktu itu beliau berada di IJN kerana sakit yang lain tetapi moodnya sangat ceria. Walaupun begitu, beliau ada bagitahu saya bahawa dah bersedia untuk meninggalkan kita semua dan sudah bertawakal,” katanya kepada Gempak.
Sehinggalah pada pagi Isnin, Mukhriz dimaklumkan oleh pihak Institut Jantung Negara (IJN) bahawa Allahyarhamah terkena serangan jantung sebelum bergegas ke sana.
“Sehinggalah pagi Isnin saya dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa ibu saya terkena serangan jantung lebih kurang jam 8 pagi.
“Saya terus ke IJN dan tiba saja waktu itu pakar sedang melakukan bantuan pernafasan (CPR) sebelum Allahyarhamah dipindahkan ke CCU.
“Kemudian pada pukul 9 pagi kami dimaklumkan bahawa CPR yang diberikan itu hanya akan dibuat selama 15 minit dan akan dihentikan jika jantung tidak lagi berdegup.
“Waktu itu kami sekeluarga sudah faham maksud doktor dan tepat pada jam 9.30 pagi, beliau telah meninggalkan kita semua,” kongsinya lagi.
Dalam masa yang sama, Mukhriz memaklumkan bahawa dia dan keluarga masih menunggu laporan rasmi Institut Jantung Negara (IJN) berhubung punca pemergian tokoh negara itu.
“Yang itu saya menunggu pengumuman daripada IJN sekiranya perlu. Sebab kami bukan pakar.
“Maka, pengumuman daripada IJN yang akan mengeluarkan kenyataan mungkin, kalau perlulah, berkenaan sebab-sebab kematian Allahyarham,” katanya.
Terdahulu, Tun Dr Hasmah dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada jam 9.20 pagi Isnin.
Berita duka itu disahkan sendiri anak kepada Allahyarhamah iaitu Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Dr Hasmah meninggalkan tujuh orang anak serta ahli keluarga yang lain.
Allahyarham merupakan antara tokoh wanita paling disegani di negara ini dan dikenali atas sumbangannya dalam bidang perubatan serta khidmat kemasyarakatan.