Sekilas
- Pelakon Atikah Suhaime berkongsi bagaimana anak perempuannya, Mulan, menjadi sumber kekuatan untuk mengatasi trauma lama terhadap gelongsor air.
- Atikah mendedahkan ketakutannya bermula sejak kecil selepas menyaksikan insiden seseorang terhentak kepala di dinding kolam ketika bermain gelongsor air.
- Dia berjaya mengatasi ketakutan itu dengan turun gelongsor enam kali demi memenuhi permintaan Mulan, sambil meluangkan masa bersama di taman tema air.
Pelakon Atikah Suhaime berkongsi bagaimana anak perempuannya, Mulan menjadi sumber kekuatan untuk mengatasi trauma yang dipendam sejak kecil.
Menerusi perkongsian di Threads, Atikah mendedahkan dia sebenarnya mempunyai ketakutan terhadap gelongsor air selepas menyaksikan satu insiden menakutkan ketika masih kanak-kanak.
“Trauma saya sejak kecil, takut dengan slide.
“Sebab dulu pernah nampak orang turun slide sampai kepala terhentak dinding kolam.
“Itu masa kecil dulu. Ingat tak, dekat Singapura ada kolam yang ada slide tinggi gila tu? Saya tak ingat sangat, mungkin masa umur lima tahun,” katanya.
Bagaimanapun, pelakon berusia 34 tahun itu berkata dia memberanikan diri mencabar ketakutan tersebut demi memenuhi permintaan anaknya, Mulan.
“Tapi hari ini, sebab anak saya, saya gagahkan diri untuk atasi trauma itu.
“Enam kali saya turun slide sebab Mulan yang minta,” ujarnya.
Menurut Atikah, pengalaman tersebut membuatkan dia sedar bahawa kehadiran anaknya sedikit sebanyak membantu menyembuhkan luka dan ketakutan yang dibawa sejak kecil.
“Saya rasa kadang-kadang Mulan yang menyembuhkan trauma saya,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Atikah turut memuat naik video memaparkan dirinya meluangkan masa bersama Mulan di sebuah taman tema air sambil bermain gelongsor air yang sebelum ini cuba dielakkannya.
Sumber: Threads