Sekilas
- Arya Saloka belajar ilmu rukyah dan memperkemaskan bacaan al-Quran demi watak Ustaz Adam dalam filem Munafik: Melawan Iblis.
- Dia mengambil masa dua bulan untuk latihan bacaan dan lakonan dengan bimbingan ustaz sebelum penggambaran bermula.
- Filem ini akan ditayangkan di pawagam Malaysia mulai 1 Oktober dan menampilkan pelakon dari Indonesia serta Malaysia.
Pelakon Indonesia, Arya Saloka sanggup mempelajari ilmu rukyah serta memantapkan semula bacaan al-Qurannya demi menjayakan watak Ustaz Adam yang dilakonkannya dalam filem Munafik: Melawan Iblis.
Menurut Arya, meskipun sudah boleh membaca al-Quran, dia mengambil inisiatif untuk memperkemaskan semula bacaan dari segi sebutan huruf, tajwid dan pelafalan dengan membawa Iqra’.
“Alhamdulillah saya sudah boleh mengaji sebelumnya dan boleh membaca al-Quran sebelumnya.
“Tetapi selepas guru saya menonton filem Munafik dan beritahu saya, ‘Masya-Allah Ustaz Adam Malaysia (Syamsul Yusof) bacaan Quran-nya bagus sekali’.
“Mengetahui perkara itu, saya termotivasi untuk belajar dengan mengulangi semula dari Iqra’ untuk memantapkan lagi tajwid serta penghafalan saya,” katanya kepada Gempak
Arya berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Munafik: Melawan Iblis bertempat di TGV, Suria KLCC pada Rabu.
Berkongsi lanjut, Arya memaklumkan dia mengambil masa kira-kira dua bulan bagi memastikan dirinya betul-betul yakin dalam melontarkan ayat suci al-Quran ketika sesi penggambaran.
“Sebelum penggambaran, kami ada jalani sesi latihan selama dua bulan.
“Sekitar dua bulan juga saya ambil masa untuk mantapkan bacaan dan lakonan. Saya memang gunakan waktu itu sebaik mungkin lebih-lebih lagi untuk belajar kembali tentang Al-Quran,” tambahnya.
Malah, pelakon Gadis Kretek ini memaklumkan dia turut mendapatkan tunjuk ajar daripada seorang ustaz untuk mempelajari ilmu rukyah.
“Saya ada tenaga pengajar iaitu seorang ustaz yang sangat mahir dalam bidang al-Quran dan rukyah.
“Jadi saya banyak belajar dengannya untuk memantapkan bacaan dan bagaimana untuk merukyah,” ujarnya.
Berkongsi pula cabaran menghafal ayat-ayat suci al-Quran, Arya mengakui proses tersebut bukanlah sesuatu yang mudah, namun bersyukur semuanya dipermudahkan.
“Cukup berat, tapi Allah mudahkan. Alhamdulillah,” tambahnya.
Selain Arya, filem ini turut dibintangi Acha Septriasa, Dimas Aditya, Nova Eliza, Izabel Jahja, Widi Dwinanda dan Oce Permatasari yang menggantikan watak-watak asal versi Malaysia seperti Nabila Huda, Fizz Fairuz dan Sabrina Ali.
Filem ini merupakan terbitan Unlimited Production dan Skop Productions, serta sokongan oleh Legacy Pictures, AZ Films, dan Komet Productions manakala Astro Shaw bertindak selaku rakan pemasaran di Malaysia.
Filem yang mengisahkan tentang perjuangan Ustaz Adam dalam menyelamatkan seseorang dari jeratan iblis ini akan dibawa ke pawagan di Malaysia pada 1 Oktober depan.