Sekilas
- Filem Munafik: Melawan Iblis adalah remake rasmi dari filem Munafik 2016 yang disesuaikan dengan konteks sosial dan budaya Indonesia.
- Cerita menggabungkan elemen horor, misteri, dan whodunnit dengan fokus pada konflik dalaman dan gangguan spiritual watak utama, Ustaz Adam.
- Filem arahan Guntur Soeharjanto ini akan ditayangkan di Malaysia mulai 1 Oktober dan menampilkan pelakon seperti Arya Saloka dan Acha Septriasa.
Bukan sekadar mengangkat elemen seram dan kerasukan, filem Munafik: Melawan Iblis tampil dengan jalan cerita tersendiri yang sarat kejutan menerusi gabungan elemen horor, misteri dan ‘whodunnit’.
Pendekatan tersebut menjadikan ketegangan dalam filem berkenaan tidak hanya bergantung kepada gangguan ghaib, sebaliknya turut dibina menerusi persoalan mengenai siapa sebenarnya di sebalik konflik dan teror yang berlaku.
Walaupun merupakan remake rasmi daripada filem Munafik arahan Syamsul Yusof yang ditayangkan pada 2016, versi Indonesia itu tidak diterjemahkan bulat-bulat daripada karya asal.
Sebaliknya, perjalanan cerita, latar tempat, tradisi serta unsur seram disesuaikan dengan konteks sosial masyarakat Indonesia sekali gus memberikan perspektif yang lebih segar buat penonton, termasuk peminat francais asal di Malaysia.

Filem arahan Guntur Soeharjanto itu mengekalkan watak utama Ustaz Adam yang kali ini dilakonkan Arya Saloka.
Dalam versi tersebut, Adam berdepan satu tragedi besar dalam hidupnya sehingga menjauh daripada dunia rukiah sebelum kembali berdepan gangguan spiritual selepas diminta membantu Fitri lakonan Acha Septriasa.
Pertemuan kedua-dua watak itu menjadi titik penting kepada perjalanan cerita yang bukan sahaja bermain dengan elemen seram, malah konflik dalaman serta misteri yang semakin berkembang.
Menariknya, unsur ghaib dan spiritual dalam Munafik: Melawan Iblis turut berakar kepada kepercayaan serta budaya tempatan Indonesia, termasuk penggunaan latar, tradisi dan norma masyarakat yang lebih dekat dengan penonton negara berkenaan.

Pendekatan itu memberi identiti tersendiri kepada filem tersebut meskipun masih mengekalkan roh dan asas dunia Munafik yang dikenali penonton Malaysia.
Selain Arya dan Acha, filem berkenaan turut dibintangi Dimas Aditya, Nova Eliza, Widi Dwinanda, Oce Permatasari serta Donny Damara.
Munafik: Melawan Iblis merupakan kolaborasi antara Unlimited Productions dari Indonesia dan Skop Productions dari Malaysia.
Filem tersebut dijadualkan menemui penonton Malaysia pada 1 Oktober ini.