Sekilas
- Jaclyn Victor, juara Gegar Vaganza musim 9 dan All Stars, akan sertai pertandingan muzik Singer 2026 - Malaysia untuk cabar diri dan perkenalkan diri kepada generasi baru.
- Walaupun peserta paling senior, Jaclyn tidak anggap usia sebagai halangan dan mahu belajar gaya nyanyian baru daripada peserta lain dalam program berasaskan China itu.
- Singer 2026 - Malaysia akan bersiaran selama enam episod bermula 30 Mei 2026 di Astro AEC, Astro GO, On Demand dan sooka, dengan Jaclyn dan beberapa penyanyi utama lain sebagai peserta.
Pernah menjuarai Gegar Vaganza musim kesembilan dan All Stars Gegar Vaganza, penyanyi Jaclyn Victor mengakui dia masih mahu mencabar diri dengan menyertai program pertandingan muzik Singer 2026 - Malaysia.
Menurut Jaclyn, peluang seperti itu tidak selalu datang dan dia melihat platform berkenaan sebagai ruang untuk memperkenalkan dirinya kepada generasi penonton baharu.
“Saya rasa ini adalah peluang dan kadang-kadang peluang yang datang itu tak mungkin akan datang balik.
“Mungkin ada orang di Malaysia yang tidak kenal saya dan saya terima benda itu sebab saya pun sudah lama dalam industri,” katanya ketika ditemui Gempak.
Tambah penyanyi berusia 47 tahun itu, dia sedar ramai generasi muda mungkin kurang mengenali dirinya berbanding penyanyi baharu lain.
“Mungkin budak-budak muda tidak kenal saya ataupun ada orang yang memang tak kenal saya.
“Jadi saya rasa ini cara yang baik untuk menunjukkan diri saya sebagai seorang penyanyi dalam latar belakang yang berbeza,” ujarnya.
Dalam masa sama, Jaclyn yang pernah menjuarai rancangan Malaysian Idol itu juga mengakui dia mungkin peserta paling senior dalam pertandingan tersebut namun tidak melihat perkara itu sebagai penghalang.
“Walaupun saya sedar mungkin saya paling tua, tak apa. Saya rasa ini peluang yang baik untuk sebarkan kekuatan saya,” katanya.
Mengulas soal tekanan pertandingan, Jaclyn berkata cabaran terbesar sebenarnya datang daripada dirinya sendiri kerana dia seorang yang mudah gementar.
“Tekanan itu sebenarnya adalah diri saya sebab saya memang seorang yang sangat gementar.
“Saya mungkin ada kelebihan dari segi pengalaman, tapi itu tak bermaksud saya akan menang ataupun saya tak boleh belajar daripada orang lain,” katanya.
Menurutnya, program tersebut juga memberi peluang untuk dia mempelajari pelbagai gaya nyanyian baharu daripada peserta lain.
“Ini program berasaskan China dan semua orang punya gaya nyanyian berbeza.
“Itu sesuatu yang saya boleh belajar sebab saya memang suka belajar benda baharu,” ujarnya.
Tambah Jaclyn, pertandingan tidak seharusnya dilihat sebagai medan permusuhan sebaliknya satu perjalanan yang dikongsi bersama semua peserta.
“Bagi saya, bila bertanding tak semestinya kena benci antara satu sama lain.
“Saya suka bersama-sama sebab ini adalah satu perjalanan untuk semua yang masuk,” katanya.
Selain Jaclyn Victor, penyanyi Vanessa Reynauld turut dipilih sebagai peserta dalam program pertandingan muzik bertaraf antarabangsa itu.
Majlis pengumuman tersebut turut memperkenalkan Geraldine Gan, Uriah See, Nicole Lai dan Priscilla Abby sebagai enam penyanyi utama musim ini.
Singer 2026 - Malaysia akan bersiaran selama enam episod bermula 30 Mei 2026, setiap Sabtu pukul 8.30 malam di Astro AEC, Astro GO, On Demand dan sooka.