Sekilas
- Penyanyi Illa Sabry menganjurkan pertandingan nyanyian Suara Merdeka Kencana 2026 di Selayang dengan penyertaan 30 peserta, 12 dipilih ke peringkat akhir.
- Juara pertandingan ialah Maimunah Mohd Daud yang membawa pulang hadiah RM500, manakala tempat kedua dan ketiga menerima hadiah wang tunai RM200 dan RM100.
- Illa merancang untuk terus mengadakan acara nyanyian di Bazaria Laman Kencana serta menambah kemudahan seperti sudut karaoke berbayar dan permainan kanak-kanak.
Penyanyi Illa Sabry tidak menyangka pertandingan nyanyian Suara Merdeka Kencana 2026 yang dianjurkannya sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar Selayang.
Lebih istimewa, program berkenaan merupakan projek pertama Illa sejak mengendalikan Bazaria Laman Kencana, Dataran Selayang Mutiara kira-kira lapan bulan lalu.
Menurut Illa atau nama sebenarnya Fasillah Sabry, 47, seramai 30 peserta mendaftar sebelum 12 daripada mereka dipilih untuk berentap di peringkat akhir.
“Alhamdulillah, ini merupakan projek pertama yang saya lakukan di sini sejak mengendalikan Bazaria Laman Kencana, Dataran Selayang Mutiara ini, lapan bulan lalu.
“Daripada 30 orang yang mendaftar dan menjalani saringan sebelah siang tadi, kami telah pilih 12 peserta untuk peringkat akhir.
“Kebanyakan peserta adalah penduduk di kawasan Selayang dan yang berhampiran. Pertandingan ini dianjur bagi memberi ruang dan peluang kepada mereka yang berbakat dalam bidang nyanyian.
“Mungkin mereka ada impian nak menjadi penyanyi tapi belum begitu berani untuk sertai acara yang lebih besar, jadi di sini adalah platform untuk mereka mencuba bakat,” katanya.

Pertandingan yang terbuka kepada peserta berusia 17 tahun ke atas itu turut dijurikan oleh Fairuz Selamat, bekas vokalis kumpulan Q-Face, Zazleen Zulkifli dan wartawan hiburan Syed Wafa.
Penyampai Kool FM, Jamal Jamaludin pula mengendalikan acara sebagai pengacara.
Pada malam berkenaan, Maimunah Mohd Daud dinobatkan sebagai juara menerusi persembahan lagu ‘Keangkuhanmu’ nyanyian asal Ramlah Ram, sekali gus membawa pulang RM500 serta hamper.
Tempat kedua menjadi milik Nor Atiqah Mohamad Amzah yang menyampaikan lagu ‘Laksamana Raja Di Laut’ nyanyian asal Iyeth Bustami dan menerima hadiah wang tunai RM200.
Sementara itu, Azlan Mohsin yang memilih lagu ‘Teratai’ dendangan Sweet Charity serta Faraziana Mohd Jani menerusi lagu ‘Ya Maulai’ nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza masing-masing menerima hadiah tempat ketiga bernilai RM100.

Selain menilai peserta, Illa dan barisan juri turut menghiburkan pengunjung.
Suasana menjadi lebih meriah apabila peserta serta ahli keluarga mereka turut menari sewaktu Zazleen menyampaikan lagu ‘Seperti Mati Lampu’.
Bagi Illa, momen itu cukup menarik kerana orang ramai yang sebelum ini tidak mengenali antara satu sama lain akhirnya disatukan melalui muzik.

Dalam masa sama, penyanyi yang pernah menyertai Gegar Vaganza musim ke-11 itu berkata, penganjuran pertandingan berkenaan juga menjadi salah satu usaha untuk memeriahkan kawasan Bazaria Laman Kencana.
“Tak sangka saya boleh buat sendiri program nyanyian ini dalam tempoh dua minggu saja dan alhamdulillah dapat sokongan daripada orang sekeliling.
“Acara ini adalah sebahagian daripada promosi untuk perniagaan di sini. Bila buat macam ni ramai yang boleh menyanyi di kawasan Selayang, datang sertai.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan di saat akhir ada juga yang nak taja hadiah hamper. Acara nyanyian ini tidak akan henti di sini saja, saya cadang akan adakan lagi di masa akan datang,” katanya.


Bazaria Laman Kencana mempunyai kira-kira 30 gerai dengan pelbagai pilihan makanan dan beroperasi setiap hari dari tengah hari hingga 12 tengah malam, manakala hujung minggu dilanjutkan sehingga 2 pagi.
Melihat minat masyarakat sekitar Selayang terhadap hiburan, Illa turut merancang mewujudkan sudut karaoke berbayar di lokasi berkenaan, selain kemudahan permainan untuk kanak-kanak.