Skip to main content

Viral

"Muntah, Nak Pitam, Cramp Satu Badan!" - Syed Saddiq Tamat Ironman Langkawi 2025, Catat Rekod Peribadi & Tuntut Janji RM1 Juta Untuk Muar

saddiq_ironman

Bekas Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menamatkan Ironman Langkawi 2025 dengan penuh emosi apabila bukan sahaja mencatat rekod peribadi baharu, tetapi turut menuntut janji sumbangan RM1 juta daripada syarikat fesyen tempatan, Primavalet, untuk disalurkan kepada kebajikan rakyat Muar.

Ahli Parlimen Muar berusia 32 tahun itu berjaya menamatkan kejohanan triatlon berprestij tersebut dengan catatan masa 12 jam 22 minit 18 saat, memperbaiki rekod tahun lalu sebanyak hampir 50 minit (13 jam 13 minit 50 saat pada 2024).

Advertisement

Beliau menyahut cabaran Primavalet untuk menamatkan keseluruhan disiplin triatlon Ironman iaitu 3.8 kilometer renang, 190 kilometer berbasikal, dan 42.2 kilometer maraton bawah tempoh 13 jam.

Kejayaan ini sekaligus 'membuka kunci' janji sumbangan kebajikan bernilai RM1 juta bagi membantu pelbagai inisiatif masyarakat di Muar, termasuk penyediaan komputer riba, bank makanan dan pakaian raya untuk golongan memerlukan.

“Saya buat ini untuk Muar. RM1 juta bantuan kebajikan berjaya dicapai dan cabaran disempurnakan. Ya, saya menangis. Ya, saya menangis hodoh. Tapi semua itu berbaloi,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Syed Saddiq turut berkongsi pengalaman getir sepanjang perlumbaan itu, termasuk berdepan rasa pitam, kekejangan otot lebih 10 kali, serta muntah setiap kali mengambil nutrisi.

“Kali pertama sepanjang saya menyertai triatlon, setiap kali saya ambil nutrisi, sama ada pisang atau gel tenaga, saya akan muntah semula. Tapi saya ingat Muar, dan saya tak akan hampakan mereka," katanya.

Beliau mengakui masa perlumbaannya banyak terjejas kerana perlu berhenti ke tandas berulang kali, namun tetap berbangga kerana berjaya menamatkan cabaran dengan catatan yang jauh lebih baik daripada edisi sebelumnya.

“Sekarang Primavalet mesti tunaikan janji mereka RM1 juta untuk Muar. Komputer riba, bank makanan, baju raya, mereka mesti kotakan janji itu," tambahnya.

Dalam hantaran media sosialnya, Syed Saddiq menzahirkan rasa syukur dan bangga dengan pencapaian ini, yang bukan hanya simbol kekuatan fizikal dan mental, tetapi juga lambang perjuangan seorang wakil rakyat untuk terus memberi kembali kepada komuniti yang diwakilinya.

“Saya buat ini untuk Muar. Berkali-kali rasa nak pitam, cramp satu badan, masuk-keluar tandas sebab muntah. Tapi semuanya berbaloi," katanya kepada media.

Must-Watch Video

Advertisement